Malaysia Hot

300 Rohingya terbabit jenayah ditahan di Selangor 2025 hingga Mei


SHAH ALAM: Seramai 300 individu etnik Rohingya ditahan kerana terbabit dalam aktiviti jenayah di Selangor sepanjang 2025 hingga Mei tahun ini. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, semua mereka disiasat atas pelbagai kes jenayah antaranya kekerasan dan harta benda. 

Katanya, setakat ini mereka tidak dikesan terbabit dalam kongsi gelap tetapi bersama dalam komuniti mereka. 

"Di Selangor, tindakan berterusan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mana pada tahun lalu beberapa operasi dilaksanakan bagi mengesan dan menangkap pendatang atau pelarian Rohingya ini terutamanya yang terbabit dengan kes jenayah.

"Pada tahun 2025, sebanyak 140 kes direkodkan dengan tangkapan 227 orang etnik berkenaan manakala pada Januari hingga Mei lalu, sebanyak 52 kes direkodkan dengan tangkapan 73 individu.

"Justeru PDRM sentiasa mengambil tindakan yang berterusan dan konsisten dan tidak hanya bergantung kepada sentimen-sentimen semasa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Ditanya adakah penempatan dan kadar jenayah membabitkan etnik berkenaan membimbangkan, Shazeli berkata ia membimbangkan kerana ada yang dikesan hadir tanpa berdaftar. 

"Identiti dan kedudukan mereka tidak diketahui dan ini adalah sesuatu yang membimbangkan kerana menyukarkan proses pencarian atau pengesanan sekiranya berlaku insiden. 

"PDRM sentiasa bekerjasama rapat dengan rakan-rakan agensi dan strategik seperti Jabatan Imigresen dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam pertukaran maklumat serta pelaksanaan operasi bersepadu di seluruh Selangor. 

"Pada tahun lalu sahaja enam operasi bersepadu dilaksanakan," katanya. 

Mengulas berhubung tindakan perobohan penempatan etnik Rohingya, Shazeli berkata, perbincangan juga dijalankan bersama PBT bagi mengenalpasti sama ada ia sah atau tidak. 

"Sekiranya sah maka tidak menjadi masalah, namun sekiranya adalah penempatan yang haram maka kita akan menyarankan pada pihak-pihak berwajib untuk mengambil tindakan yang sepatutnya. 

"Sama ada untuk menjadikannya satu penempatan yang sah, mengambil tindakan perobohan atau penempatan semula di satu kawasan yang senang dipantau," katanya.

Sumber.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال