Malaysia Hot

Bekas ahli IKRAM mengaku tidak bersalah atas pertuduhan salah guna kuasa RM98 juta


SHAH ALAM: Seorang ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 158 pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan berjumlah RM98,270,315.20 dalam tempoh lima tahun.

Fakhrudin Abd Karim, 57, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

“(Saya) minta dibicarakan,” katanya dari kandang tertuduh.

Beliau kelihatan tenang sepanjang prosiding dan mendengar setiap pertuduhan dibacakan dengan teliti. Bacaan semua 158 pertuduhan mengambil masa hampir dua jam dengan bantuan dua jurubahasa yang bergilir membaca secara berterusan.

Bagi mempercepatkan prosiding, pihak pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon hanya butiran penting setiap pertuduhan dibacakan di mahkamah, dan ia tidak dibantah pihak pembelaan.

Dalam 149 pertuduhan, Fakhrudin sebagai pegawai badan awam dan penandatangan akaun bank cawangan IKRAM Hulu Selangor didakwa menyalahgunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM81.95 juta bagi manfaat sebuah syarikat, Ehsan Care Solution.

Beliau didakwa mengarahkan pemindahan dana daripada akaun cawangan ke syarikat tersebut yang didakwa mempunyai kepentingan terhadapnya.

Bagi baki pertuduhan, beliau didakwa melakukan kesalahan sama dengan mengarahkan sembilan transaksi pemindahan dana ke dua akaun bank peribadinya berjumlah RM16.32 juta.

Kesalahan itu didakwa berlaku di pejabat IKRAM Hulu Selangor di Pusat Perniagaan Adenium, Bukit Beruntung, Rawang antara 6 Jan 2021 hingga 6 Ogos 2025.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 (mana lebih tinggi).

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM1 juta dengan dua penjamin, namun pihak pembelaan memohon pengurangan kepada RM300,000 atas alasan anak guam bekerjasama sepanjang siasatan dan mempunyai tanggungan keluarga besar.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM500,000 dengan dua penjamin tempatan, dan menetapkan 7 Ogos untuk sebutan semula kes.

Selepas prosiding, tertuduh dibawa keluar dari mahkamah dengan diiringi pegawai SPRM.

Sumber.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال