MIAMI: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan beberapa hari sebelum Piala Dunia 2026 bermula bahawa satu upacara baharu yang lebih memfokuskan penyokong diperkenalkan bagi mengeratkan hubungan antara pemain dan peminat selain menambah kemeriahan menjelang sepak mula.
Menerusi upacara itu, bendera gergasi kedua-dua negara yang bertanding akan dibentangkan di atas padang, manakala kesemua 26 pemain setiap pasukan berdiri di kedua-dua sisi bulatan tengah ketika lagu kebangsaan dimainkan.
Kedua-dua pasukan kemudian bersalaman sebelum bendera berkenaan dikemaskan dan perlawanan dimulakan.
Bagaimanapun, beberapa perlawanan Piala Dunia 2026 bermula lewat akibat pelaksanaan upacara baharu itu.
Bagi memastikan keseimbangan ketika upacara berlangsung, bendera Uruguay turut diangkat dan tidak diletakkan di atas permukaan padang.
Arab Saudi mempunyai peraturan yang sangat ketat berkaitan penggunaan bendera negara itu.
Menurut laporan Gulf News pada tahun 2024, adalah dilarang mempamerkan bendera Arab Saudi yang pudar warnanya atau berada dalam keadaan tidak sempurna.
Bendera yang sudah lama atau tidak sesuai digunakan mesti dimusnahkan oleh pihak yang bertanggungjawab dan tidak boleh digunakan semula atau diperlakukan tanpa penghormatan sewajarnya.
Laporan sama turut menyatakan bahawa adalah dilarang sama sekali menurunkan bendera kebangsaan Arab Saudi sehingga menyentuh tanah, air atau mana-mana permukaan di bawahnya.
Justeru, ketika bendera negara-negara lain dibentangkan di atas padang sepanjang Piala Dunia 2026, bendera Arab Saudi akan sentiasa dipegang pada kedudukan lebih tinggi daripada permukaan bumi.
Dalam aksi pembukaan Kumpulan H, Arab Saudi seri 1-1 dengan Uruguay selepas Abdulelah Al-Amri meletakkan pasukannya di depan sebelum Maxi Araujo menyamakan kedudukan pada penghujung perlawanan. - AGENSI
Tags
Sukan

