SHAH ALAM: Impian untuk meraikan kemenangan dengan ganjaran lumayan dan percutian ke Barcelona tidak kesampaian apabila personaliti media sosial, Cik B, sekadar menamatkan saingan di tempat ketiga pada pentas akhir Talk To My Manager (TTMM) musim kedua, malam tadi.
Cik B atau nama sebenarnya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 21, mendedahkan ibunya yang juga usahawan terkenal, Datuk Seri Vida, sebelum ini menjanjikan hadiah istimewa sekiranya dia berjaya bergelar juara program realiti berkenaan.
Menurut Cik B, antara ganjaran yang dijanjikan termasuk wang tunai RM150,000 selain percutian ke Barcelona, Sepanyol.
"Mama kata dia akan hadiahkan wang tunai RM150,000 dan bawa saya bercuti ke Barcelona kalau saya jadi juara.
"Selain itu, kalau saya menang, semua kakitangan di pejabat saya pun akan diberikan cuti.
"Tapi rezeki saya dapat tempat ketiga. Nasib baik, selamat juga poket Mama," katanya berseloroh ketika ditemui selepas pentas akhir TTMM2 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam tadi.
Cik B berkata, ibunya yang bertindak sebagai pengurus sepanjang pertandingan tidak menjanjikan sebarang ganjaran lain sekiranya dia gagal muncul juara.
"Mama tak janji apa-apa yang lain sebab Mama cuma cakap tentang pemenang pertama sahaja.
"Saya okay dan tiada masalah. Jalani hidup macam biasa.
"Sebenarnya saya boleh sahaja minta Mama, contohnya Cik B dapat nombor tiga, boleh tak dapat RM30,000? Boleh sahaja.
"Sebab Mama memang sentiasa memberi sokongan. Apa sahaja yang saya minta, Mama tak pernah cakap tidak," katanya.
Menerusi pentas akhir TTMM musim kedua, Cik B menamatkan pertandingan di tempat ketiga sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, emas, pakej penginapan, peruntukan pengurusan dan pemasaran, rakaman single serta trofi.
Walaupun tidak membawa pulang gelaran juara, Cik B menganggap pengalaman sepanjang program itu sebagai satu kenangan yang berharga.
Sumber.
Tags
Hiburan

