KOTA BHARU: Dua rakyat Malaysia ditemui selamat di Mundok, Thailand selepas dua hari diculik masing-masing di Pasir Mas dan Tumpat, dekat sini dipercayai berkait hutang kes dadah dan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, kedua-dua mangsa berusia 51 dan 35 tahun ditemui polis Thailand sebelum dibawa pulang.
Kedua-dua mangsa, katanya termasuk seorang mempunyai 24 rekod jenayah lampau diculik pada 6 Jun lalu untuk dijadikan cagaran selepas saudara mereka gagal menjelaskan hutang RM33,000.
Susulan kejadian itu, katanya polis menahan empat lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
"Peminjam sebenar iaitu lelaki berusia 25 tahun dan teman wanitanya turut ditahan dan kini direman sehingga 22 Jun.
"Siasatan mendapati, kes culik berkenaan berkait hutang dadah dan penyeludupan PATI berjumlah RM33,000," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Yusoff berkata polis masih memburu memburu dua suspek utama dikenali sebagai Mohamad Syamsul Azroy Che Anuar, 32 dan Hamzah Muhamad, 40 yang dipercayai sudah melarikan diri ke Thailand.
"Kedua-dua suspek turut membakar Perodua Myvi milik mereka di Gelang Emas, Pasir Mas dipercayai kenderaan digunakan untuk menculik mangsa," katanya.
Menurut beliau, pihaknya turut meminta bantuan polis Thailand bagi mengesan dua suspek yang dikehendaki ini memandangkan mereka kini bersembunyi di negara jiran.
"Kedua-dua suspek yang dikehendaki itu masing-masing mempunyai 10 rekod berkait kes dadah dan jenayah," katanya.
Sumber.
Tags
Jenayah

