ARLINGTON, Amerika Syarikat: Erling Haaland akan menjadi tumpuan utama apabila Norway menentang Ivory Coast pada pusingan 32 terakhir Piala Dunia awal pagi Rabu ini, namun pasukan Afrika itu berazam mencuri perhatian dengan kekuatan serangan mereka sendiri.
Penyerang Norway itu sudah meledak empat gol daripada dua penampilan pada kejohanan kali ini dan dijangka kembali ke dalam kesebelasan utama selepas direhatkan ketika kekalahan 1-4 kepada Perancis pada aksi terakhir peringkat kumpulan, bersama kebanyakan pemain utama lain.
Haaland menjaringkan dua gol ketika Norway menewaskan Iraq pada aksi pertama mereka di Piala Dunia selepas 28 tahun, sebelum sekali lagi mempamerkan ketajamannya ketika membantu pasukan menundukkan Senegal untuk mengesahkan kemaraan selepas hanya dua perlawanan.
Perancangan Ivory Coast pasti tertumpu kepada usaha mengekang Haaland dalam apa yang dijangka menjadi ujian besar buat benteng pertahanan mereka.
Antara tonggak utama pertahanan Ivory Coast adalah Ousmane Diomande, pemain berusia 22 tahun yang dikaitkan dengan perpindahan dari Sporting Lisbon ke Liga Perdana Inggeris menjelang musim depan.
Namun jurulatih Emerse Fae turut mahu pasukannya bermain secara positif dan memberi tekanan kepada Norway selain memastikan Haaland tidak banyak menguasai bola.
Ivory Coast memiliki barisan serangan yang menarik diketuai pemain remaja sensasi Yan Diomande, yang turut menjadi perhatian dalam pasaran perpindahan pemain, serta bekas pemain Arsenal, Nicolas Pepe.
Pepe kembali menyerlah apabila menjaringkan dua gol ketika kemenangan ke atas Curacao pada aksi terakhir kumpulan.
Fae mempunyai sembilan penyerang dalam skuadnya termasuk penyerang Inter Milan, Ange-Yoan Bonny yang menukar kesetiaan daripada Perancis kepada Ivory Coast sebelum kejohanan bermula.
"Saya fikir kemampuan menjaringkan gol daripada pelbagai pemain adalah kekuatan utama kami. Ia boleh mengejutkan lawan dan membolehkan kami mengancam dari seluruh kawasan padang, termasuk menerusi pemain gantian yang mampu memberi impak besar," kata Fae.
Jurulatih Norway, Stale Solbakken berkata keputusannya merehatkan 10 pemain utama ketika menentang Perancis adalah langkah yang mudah dibuat kerana keletihan mula menjejaskan beberapa pemain.
"Ia mudah. Selepas perlawanan menentang Senegal, kami membuat penilaian dan keseluruhan barisan pertahanan serta beberapa pemain tengah mengalami keletihan yang ketara," katanya.
Solbakken juga lega kerana cuaca tidak dijangka menjadi faktor mempengaruhi perlawanan di Dallas memandangkan stadium berkenaan mempunyai sistem penyejukan dan aksi berlangsung pada waktu tengah hari. – REUTERS
Tags
Sukan

