Malaysia Hot

Hakim Danish cipta sensasi juarai GP Czech


KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli menamatkan penantian 10 tahun Malaysia untuk melihat Jalur Gemilang berkibar megah di pentas Moto3 apabila bangkit mencipta kemenangan sensasi dalam perlumbaan Grand Prix (GP) Czech di Litar Brno, hari ini.

Apa yang menjadikan kemenangan sulung musim ini lebih istimewa adalah cara Hakim Danish bangkit daripada hukuman yang diterimanya selepas sesi kelayakan.

Semalam, pelumba negara itu sebenarnya mencuri perhatian apabila meraih petak kedua untuk perlumbaan selepas mempamerkan kelajuan kompetitif sepanjang hujung minggu di Brno.

Namun, penalti dikenakan kerana memperlahankan jenteranya di salah satu sektor ketika sesi kelayakan kedua (Q2), sekali gus menyebabkan beliau terpaksa bermula dari petak ke-14.

Situasi itu tidak mematahkan semangat Hakim Danish yang tampil dengan aksi agresif dan penuh keyakinan sepanjang perlumbaan sebelum akhirnya muncul pemenang.

Pelumba berusia 18 tahun itu membuktikan ketenangan dan kematangannya apabila berjaya memintas seorang demi seorang pencabar sebelum melintasi garisan penamat di kedudukan pertama dengan catatan masa 33 minit 34.26 saat.

Pelumba Sepanyol, Brian Uriarte menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan ketinggalan 0.466 saat, manakala rakan senegaranya, Marco Quiles melengkapkan podium di kedudukan ketiga selepas berada 0.629 saat di belakang Hakim Danish.

Kemenangan itu sekali gus mengakhiri kemarau panjang Malaysia dalam saingan Moto3 sejak kali terakhir dicapai Khairul Idham Pawi pada musim 2016.

Untuk rekod, Khairul Idham mencipta sejarah apabila muncul juara GP Argentina dan Jerman dalam kelas Moto3 pada musim berkenaan, yang kekal sebagai dua kemenangan tunggal pelumba Malaysia di pentas dunia sebelum kejayaan Hakim Danish hari ini.

Sumber.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال