EAST RUTHERFORD: Pengendali England, Thomas Tuchel mengesahkan pertahanan kanan Reece James akan terlepas aksi terakhir Kumpulan L Piala Dunia menentang Panama, awal pagi esok, akibat kecederaan hamstring.
Bagaimanapun, Tuchel berharap pemain Chelsea itu dapat pulih tepat pada masanya untuk beraksi pada pusingan 32 terbaik.
James yang diturunkan dalam dua perlawanan pertama England mengalami kekejangan otot selepas keputusan seri 0-0 menentang Ghana.
Pemain berusia 26 tahun itu juga tidak menyertai skuad yang berlepas dari kem latihan England di Kansas City, sekali gus menyaksikan Tuchel kekurangan pilihan di posisi bek kanan.
"Reece mengalami kecederaan hamstring ringan. Dia tidak dapat menjalani latihan dalam tempoh dua hari lalu.
"Kami akan menilai keadaannya dari semasa ke semasa, tetapi kami yakin dia masih boleh beraksi lagi dalam kejohanan ini," kata Tuchel.
England hampir pasti mara ke pusingan kalah mati dan akan bertemu pasukan di tempat ketiga sekiranya muncul juara Kumpulan L.
Tuchel tidak menolak kemungkinan James sempat pulih untuk aksi itu, namun mengakui pemain berkenaan kini berlumba dengan masa.
"Kami masih berharap untuk perlawanan seterusnya, tetapi ia mungkin agak sukar.
"Tiada siapa menjangkakan perkara ini berlaku. Reece berada dalam keadaan baik dan cergas. Ia agak malang.
"Kami tentu mahu Reece bersama pasukan kerana dia pemain penting. Namun dia tidak dapat beraksi dan kami perlu mencari penyelesaian. Itulah yang kami lakukan," katanya.
Dalam perkembangan sama, Tuchel mengesahkan Declan Rice dan Elliot Anderson kembali cergas selepas mengalami masalah kecil susulan aksi menentang Ghana.
Rice bagaimanapun berisiko digantung perlawanan jika menerima satu lagi kad kuning ketika menentang Panama, namun Tuchel percaya pemain tengah Arsenal itu cukup berpengalaman untuk mengendalikan situasi berkenaan.
Sementara itu, Bukayo Saka semakin hampir untuk diturunkan dalam kesebelasan utama selepas pulih daripada kecederaan tendon Achilles.
Pemain sayap Arsenal berusia 24 tahun itu sebelum ini hanya diturunkan sebagai pemain gantian dalam dua aksi pertama England.
Sumber.
Tags
Sukan

