Malaysia Hot

Kerajaan Rancang Rombak Akta Kontrak 1950 - Azalina




Kerajaan bercadang untuk merombak Akta Kontrak 1950 (Akta 136) yang hanya mengalami pindaan terhad sejak dikuatkuasakan, sebagai sebahagian daripada usaha memodenkan rangka kerja undang-undang komersial negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato Sri Azalina Othman Said.

Semasa sesi penerangan menteri mengenai reformasi undang-undang kontrak di Dewan Rakyat pada Selasa (30 Jun), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata Akta tersebut hanya melalui tiga pindaan utama sejak berkuat kuasa, iaitu pada tahun 1967, 1974 dan 1976.

Beliau berkata, sebahagian ilustrasi statutori dalam Akta itu masih menggunakan istilah lapuk yang sudah lama tidak lagi digunakan di Malaysia.

"Ini termasuk penggunaan perkataan seperti 'gantang', yang hanyalah satu contoh kecil bagaimana sesuatu Akta yang telah berusia lebih 75 tahun memerlukan semakan menyeluruh bagi memastikan ia terus selaras dengan realiti dunia perniagaan masa kini.

"Reformasi ini dijangka dapat memperkukuh kepastian undang-undang, mengurangkan kos transaksi dan pertikaian komersial, meningkatkan keyakinan pelabur serta menyelaraskan rangka kerja undang-undang komersial Malaysia dengan piawaian ASEAN dan global dalam ekonomi digital.

"Inisiatif ini merupakan langkah strategik Kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekosistem perundangan komersial negara," katanya.

Azalina berkata kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Reformasi dan Semakan Undang-Undang Kontrak pada Januari tahun lalu yang dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Vazir Alam Mydin Meera. Jawatankuasa itu dianggotai 20 ahli yang terdiri daripada wakil badan kehakiman, ahli akademik tempatan dan antarabangsa, profesion guaman, industri serta sektor awam, termasuk wakil dari Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, sebanyak lapan kumpulan kerja turut ditubuhkan bagi meneliti setiap peruntukan dalam Akta tersebut secara terperinci.

Menurut Azalina, laporan jawatankuasa itu menghimpunkan tiga cadangan reformasi utama, iaitu semakan menyeluruh terhadap Akta Kontrak 1950, cadangan Rang Undang-Undang Hak Pihak Ketiga bagi membolehkan pihak ketiga menguatkuasakan terma kontrak yang dibuat untuk manfaat mereka, serta cadangan Rang Undang-Undang Agensi bagi menggantikan Bahagian X Akta tersebut.

"Cadangan Rang Undang-Undang Agensi akan memperkenalkan rangka kerja perundangan yang lebih moden bagi undang-undang agensi, termasuk menangani isu-isu baharu seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam urus niaga komersial.

"Walaupun semakan ini dijalankan secara berasingan, ketiga-tiga kajian tersebut saling berkait dan telah digabungkan dalam satu laporan komprehensif bagi memberikan gambaran menyeluruh mengenai hala tuju reformasi undang-undang kontrak Malaysia," katanya.

Beliau menambah, tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri, rang undang-undang yang dicadangkan itu dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat yang akan datang.


Previous Post Next Post

نموذج الاتصال