BENTONG: Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak semalam, yang mengorbankan empat nyawa, didapati positif dadah.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, ujian saringan air kencing mengesahkan suspek telah mengambil methamphetamine (syabu).
Menurut beliau, pemandu tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong selepas menerima rawatan di Hospital Bentong.
“Polis telah menjalankan ujian air kencing terhadap pemandu terbabit dan dia didapati positif methamphetamine. Dia ditahan kira-kira jam 4 pagi hari ini.
“Polis akan memohon perintah reman terhadap suspek di Mahkamah Raub bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, memaklumkan bahawa semakan mendapati pemandu lori itu mempunyai 15 saman trafik.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.25 petang semalam, empat individu termasuk seorang bayi maut selepas kereta yang mereka naiki dihempap treler yang terbalik.
Mangsa yang terkorban terdiri daripada seorang lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak berusia setahun. Kesemua mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara itu, pemandu lori berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan pinggul.
Sumber.
Tags
Jenayah

