Malaysia Hot

Nilai Pemimpin Melalui Khidmat, Bukan Populariti Media Sosial - Tunku Mahkota Ismail


Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menyeru generasi muda agar lebih bijak menilai kepimpinan dengan melihat kepada rekod perkhidmatan, keupayaan menyelesaikan masalah rakyat serta hasil yang dibawa kepada masyarakat, bukannya semata-mata berdasarkan populariti di media sosial.

Baginda menegaskan bahawa seorang pemimpin yang baik tidak diukur melalui jumlah tontonan, pengikut atau kandungan yang tular di platform digital, sebaliknya melalui kemampuan melaksanakan amanah, memahami denyut nadi rakyat dan membawa perubahan yang memberi manfaat kepada kehidupan mereka.


Menurut baginda, landskap politik hari ini memperlihatkan kecenderungan sebahagian anak muda untuk tertarik kepada pemimpin populis yang lebih menumpukan usaha membina imej di media sosial berbanding menunjukkan pencapaian sebenar di lapangan.

“Sudah tentu kepimpinan yang boleh melaksanakan tugas, yang memberi penuh prihatin kepada rakyat. Sekarang ini kita ada satu trend, anak-anak muda lebih suka dengan populis yang suka berlakon dalam media sosial,” titah baginda.


Baginda turut menjelaskan bahawa institusi diraja Johor telah sekian lama melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan merangkumi bantuan pendidikan, kesihatan, kebajikan masyarakat dan golongan memerlukan tanpa menjadikannya sebagai bahan publisiti atau kandungan untuk meraih perhatian awam.

Titah tersebut membawa mesej yang jelas bahawa khidmat kepada rakyat tidak memerlukan pentas atau sorotan kamera untuk membuktikan nilainya. Sebaliknya, hasil kerja, keikhlasan dan impak kepada masyarakat adalah ukuran sebenar yang menentukan kualiti seseorang pemimpin.
“Sebelum membuat apa-apa keputusan, buat penilaian dahulu. Saya tidak suka dengan ‘Hollywood’. Saya suka orang yang melaksanakan tugas, yang boleh memperbaiki hidup rakyat,” titah baginda.
Seruan Pemangku Sultan Johor itu dilihat sebagai peringatan penting kepada generasi muda supaya tidak mudah terpengaruh dengan persembahan politik yang bersifat kosmetik. Dalam era media sosial yang sarat dengan pencitraan dan persepsi, rakyat disaran menilai pemimpin berdasarkan prestasi, integriti dan sumbangan sebenar kepada negara serta masyarakat, bukannya sekadar populariti yang dibina di alam maya.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال