MEXICO CITY: Piala Dunia 2026 sudah mencatatkan jumlah gol sendiri kedua tertinggi dalam sejarah kejohanan apabila lapan gol sendiri direkodkan hanya dalam tempoh 10 hari pertama saingan.
Jumlah itu meletakkan kejohanan diperluas ini dalam landasan untuk menghampiri rekod sepanjang zaman sebanyak 12 gol sendiri yang dicatatkan pada Piala Dunia 2018 di Russia.
Dengan edisi 2026 membabitkan 48 pasukan dan 104 perlawanan, angka semasa dijangka terus meningkat sepanjang kejohanan berlangsung.
Pertahanan Arab Saudi, Hassan Altambakti menjadi pemain terkini menjaringkan gol sendiri ketika pasukannya tewas 0-4 kepada Sepanyol awal pagi tadi.
Amerika Syarikat paling banyak menerima manfaat daripada trend itu setakat ini, apabila gol sendiri oleh Damian Bobadilla (Paraguay) dan Cameron Burgess (Australia) berlaku dalam perlawanan menentang tuan rumah bersama itu.
Gol sendiri Hussein berlaku ketika menentang Norway, namun dia turut menjaringkan gol untuk Iraq dalam perlawanan sama, menjadikannya hanya pemain ketiga dalam sejarah Piala Dunia menjaringkan gol di kedua-dua hujung padang dalam satu perlawanan.
Menurut statistik kejohanan, sebanyak 61 gol sendiri sudah direkodkan dalam sejarah Piala Dunia, dengan lapan gol sendiri pada edisi 2026 menyumbang hampir 13 peratus daripada jumlah keseluruhan itu.
Gol sendiri pertama dalam sejarah Piala Dunia dijaringkan oleh Manuel Rosas dari Mexico pada edisi sulung 1930.
Lima edisi kejohanan termasuk Itali 1990, berlangsung tanpa sebarang gol sendiri direkodkan.
Dengan banyak lagi perlawanan menanti, Piala Dunia 2026 dijangka melepasi rekod 2018 dan menetapkan penanda aras baharu bagi gol sendiri dalam sejarah kejohanan. – AGENSI
Tags
Sukan

