Namun, Lionel Messi yang menyambut ulang tahun ke-39 pada Rabu dan Cristiano Ronaldo yang berusia 41 tahun, masih belum menunjukkan sebarang tanda untuk mengendurkan langkah di pentas tertinggi bola sepak dunia.
Dua gol Messi ketika menentang Austria pada Isnin melonjakkan jumlah jaringannya kepada 18 gol, sekali gus menempatkannya di puncak carta penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia.
Sementara itu, Ronaldo mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam enam edisi berbeza Piala Dunia selepas meledak dua gol ketika berdepan Uzbekistan pada Selasa.
Selepas hatrik Messi menentang Algeria dalam aksi pembukaan Argentina, disusuli dua gol pada malam Isnin, tekanan jelas terarah kepada Ronaldo.
Prestasi kurang memberangsangkan Portugal ketika seri 1-1 dengan DR Congo dalam perlawanan pertama mencetuskan kritikan terhadap Ronaldo, termasuk khabar angin mengenai hubungan kurang baik dengan rakan sepasukan.
Namun, beliau membalas segalanya dengan aksi penuh makna.
Seawal minit keenam perlawanan menentang Uzbekistan, Ronaldo menemui sasaran untuk memastikan dirinya menjaringkan gol dalam enam edisi berturut-turut Piala Dunia - 2006, 2010, 2014, 2018, 2022 dan 2026.
Seorang lagi pemain yang beraksi dalam kesemua edisi tersebut ialah Messi, namun beliau gagal menjaringkan gol pada 2010.
Gol Ronaldo ke atas Uzbekistan juga menamatkan kemarau 11 perlawanan Piala Dunia tanpa jaringan sejak aksi pembukaan 2022 menentang Ghana.
Reaksi Ronaldo selepas perlawanan - melaungkan “Saya kembali” tepat ke arah kamera - menggambarkan kelegaan dan keazaman seorang pemain yang pernah mendominasi pentas bola sepak dunia.
“Dia manusia biasa,” kata pengendali Portugal, Roberto Martinez. “Dia juga ada perasaan.”
Bekas rakan sepasukannya di Manchester United, Wayne Rooney, menyifatkan reaksi itu sebagai cerminan karakter Ronaldo.
“Ini yang dia lakukan. Dia terima kritikan, dan ini jawapannya.”
Sejak berusia 35 tahun, Messi mencatat 12 gol dalam sembilan perlawanan terakhir Piala Dunia - dua lebih banyak berbanding 10 gol Ronaldo - sekali gus meletakkannya sebaris legenda Brazil, Pele.
Sebaliknya, Messi hanya menjaringkan enam gol dalam 19 perlawanan awalnya dalam kejohanan ini ketika berusia antara 18 hingga 34 tahun.
Lonjakan prestasi itu berlaku selepas beliau meninggalkan Barcelona, yang menyaksikan fokus terhadap aksi bersama Argentina semakin ketara.
Bagi Ronaldo pula, sejak usia 35 tahun, beliau menjaringkan lapan gol dalam 16 aksi di pentas Piala Dunia dan Kejohanan Eropah.
Selepas kempen kali ini, Ronaldo memburu satu lagi pencapaian besar - 1,000 gol sepanjang karier.
Kini, beliau sudah mengumpul 975 gol, hanya 25 jaringan lagi untuk mencapai angka tersebut.
Walaupun kedua-duanya tidak lagi mendominasi seperti era kegemilangan Ballon d’Or, dan tidak lagi berada dalam ligu tertinggi Eropah, persaingan Messi-Ronaldo terus mencuri perhatian.
Piala Dunia kali ini juga berpotensi menjadi penutup sempurna kepada rivaliti epik ini.
Jika Portugal dan Argentina melepasi peringkat kumpulan serta mara ke suku akhir, kedua-dua pasukan berpeluang bertembung di Kansas City pada 11 Julai.
Namun, dalam dunia bola sepak, segalanya masih mungkin - mungkin juga kita akan terus menyaksikan mereka memburu rekod baharu menjelang 2030.
Bagi dua legenda ini, tiada apa yang mustahil!
Sumber.
Tags
Sukan

