KUALA TERENGGANU: Polis menahan dua beradik yang disyaki menjadikan rumah mereka di Kampung Duyong Besar di sini sebagai stor simpanan dadah bernilai RM1.76 juta.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, kedua-dua suspek berusia 39 dan 50 tahun itu ditahan bersama kira-kira 22 kilogram putik ganja dalam serbuan pada jam 3.30 petang, 14 Jun lalu menerusi Op Tapis Khas.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek bertindak sebagai penjaga stor bagi satu sindiket yang dipercayai aktif sejak Mac tahun ini. Bekalan dadah itu dipercayai diperoleh daripada sindiket antarabangsa yang menyeludup masuk ke negara ini melalui laluan laut,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek didapati negatif dadah. Suspek berusia 50 tahun mempunyai 13 rekod lampau berkaitan dadah, manakala adiknya tidak mempunyai rekod jenayah.
Menurut Khairi, bekalan dadah yang dirampas itu dianggarkan mencukupi untuk 44,000 penagih dan dipercayai disasarkan untuk pasaran antarabangsa.
“Berdasarkan siasatan, putik ganja tersebut dipercayai akan dihantar ke luar negara. Ia akan diproses bagi menghasilkan cecair yang dipercayai digunakan sebagai perisa rokok elektronik yang boleh menyebabkan khayal,” katanya.
Polis turut menyita pelbagai aset bernilai RM149,000 termasuk sebuah Hyundai Tucson, tiga motosikal iaitu BMW, Yamaha NVX dan Yamaha 135LC, serta wang tunai RM6,000.
Khairi berkata, tempoh reman kedua-dua suspek yang bermula pada 15 Jun dan berakhir hari ini telah disambung tujuh hari lagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata, Op Tapis Khas yang dijalankan dari 12 hingga 14 Jun lalu menyaksikan seramai 243 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah, dengan rampasan keseluruhan sebanyak 22.35 kilogram dadah bernilai RM1.79 juta. – Bernama.
Tags
Jenayah

