Dalam politik, tindakan keluar parti boleh membawa pelbagai tafsiran. Ada yang berpunca daripada perbezaan prinsip dan keyakinan terhadap hala tuju parti. Ada juga yang berlaku selepas sesuatu keputusan politik tidak memihak kepada individu terbabit.
Perbezaan inilah yang menjadikan tindakan Alwiyah Talib dan Abd Mutalip menarik untuk dibandingkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Alwiyah Talib meninggalkan Bersatu dan menyertai UMNO dengan alasan beliau telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan dan hala tuju parti tersebut. Kenyataan itu meletakkan asas bahawa keputusan beliau didorong oleh perbezaan pendirian serta kepercayaan terhadap organisasi yang diwakilinya.
Sama ada orang ramai menerima alasan tersebut atau sebaliknya, naratif yang dibawa adalah jelas beliau mendakwa tidak lagi percaya kepada parti yang dianggotainya.
Situasi Abd Mutalip pula berkembang dalam kronologi yang berbeza.
Beliau tidak terpilih sebagai calon Barisan Nasional bagi DUN Layang-Layang untuk Pilihanraya Negeri Johor pada kali ini sebelum mengumumkan keluar daripada UMNO dan memilih bertanding sebagai calon Bersatu. Dalam kenyataannya, Abd Mutalip menegaskan keputusan itu dibuat secara sukarela tanpa sebarang paksaan serta mendakwa masih mendapat sokongan akar umbi.
Namun dalam demokrasi, hak untuk bertanding sentiasa datang bersama hak rakyat untuk membuat penilaian.
Dalam politik, kronologi sering mempengaruhi persepsi.
Itulah sebabnya persoalan yang timbul dalam kalangan pemerhati politik bukan sekadar mengapa Abd Mutalip keluar UMNO tetapi bilakah keputusan itu dibuat.
Keputusan meninggalkan parti hanya berlaku selepas proses pemilihan calon selesai dan beliau tidak dicalonkan semula.
Sebahagian mungkin melihat keputusan tersebut sebagai reaksi terhadap kegagalan memperoleh pencalonan. Sebahagian yang lain pula mungkin menerima penjelasan beliau bahawa keputusan itu dibuat atas pertimbangan serta demi kepentingan peribadi.
Akhirnya, tafsiran itu bukan ditentukan oleh ahli politik tetapi oleh rakyat.
Inilah yang membezakan naratif Alwiyah dan Abd Mutalip.
Dalam kes Alwiyah, alasan yang dikemukakan berkisar kepada soal keyakinan terhadap parti.
Dalam kes Abd Mutalip, perdebatan lebih tertumpu kepada hubungan antara keputusan meninggalkan parti dengan proses pemilihan calon yang berlaku sebelum itu.
Jadi pihak yang cuba burukkan Alwiyah seharusnya melihat kepada yang tukar parti demi mengejar jawatan walaupun sudah merasai kerusi EXCO di Johor.

