Malaysia Hot

PRN Johor: Azalina Seru Pengundi Pilih Kesinambungan Pentadbiran




PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) — Pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diseru memilih calon yang mampu menjamin kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan secara lancar dan berkesan.

Ketua Penerangan UMNO, Dato Sri Azalina Othman Said berkata, walaupun setiap parti politik mempunyai hak yang dijamin Perlembagaan untuk meletakkan calon, pengundi perlu membuat pilihan berdasarkan kepentingan pentadbiran negeri.

Menurut beliau, calon-calon Barisan Nasional (BN) berada pada kedudukan yang lebih baik untuk berkhidmat kepada rakyat Johor memandangkan kerajaan negeri ketika ini diterajui oleh BN.

"Saya ingin mengingatkan pengundi Johor bahawa mengundi calon BN memberi kelebihan di peringkat negeri kerana ini adalah pilihan raya negeri, bukannya pilihan raya Persekutuan.

"Jika kita melihat keadaan semasa, ketua kampung, jawatankuasa pembangunan kampung serta pelbagai institusi lain memerlukan hubungan kerja yang amat rapat dengan kerajaan negeri. Saya berharap pengundi menggunakan kebijaksanaan mereka untuk memilih parti dan calon yang mampu memastikan kesinambungan pentadbiran negeri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 di Putrajaya hari ini.

Azalina, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), berkata kesinambungan pentadbiran akan memudahkan pelaksanaan dasar, mempercepat penyampaian perkhidmatan serta memastikan pembangunan negeri dapat diteruskan tanpa gangguan.

Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 27 Jun, pengundian awal pada 7 Julai dan hari pengundian pada 11 Julai.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال