Malaysia Hot

PRN Johor: Machap, Onn Lawan Hafiz


Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap bukan sekadar pertembungan antara dua calon tetapi menjadi satu penilaian terbuka terhadap kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi dan hala tuju Johor yang sedang melalui fasa pembangunan serta pelaburan yang rancak. Di hadapan pengundi Machap, persoalannya bukan lagi siapa yang paling lantang berkempen tetapi siapa yang telah membuktikan keupayaan memimpin.

Pertembungan satu lawan satu antara Onn Hafiz, selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, dengan calon baharu Pakatan Harapan (PH) daripada AMANAH, Nor Hafiz Roslan, meletakkan dua pendekatan yang berbeza di hadapan rakyat. Di satu pihak ialah penyandang yang datang dengan rekod pentadbiran dan pengalaman memimpin negeri. Di pihak yang lain ialah calon yang sedang ‘menjual harapan’ untuk diberi peluang membuktikan kemampuan.

Onn Hafiz memasuki gelanggang bukan sebagai calon yang bergantung kepada janji baharu semata-mata. Beliau hadir dengan rekod yang telah diperhatikan sepanjang memimpin Johor. Daripada usaha menarik pelaburan, memperkukuh keyakinan pelabur, mempercepat pelaksanaan projek pembangunan hinggalah kepada usaha memperluaskan peluang pekerjaan, pentadbirannya telah membentuk asas kepada naratif bahawa Johor sedang bergerak dengan hala tuju yang lebih tersusun. Sama ada rakyat berpuas hati sepenuhnya atau tidak, mereka sekurang-kurangnya mempunyai prestasi untuk dinilai.

Inilah kelebihan terbesar yang tidak boleh dipandang ringan. Dalam pilihan raya, rekod pentadbiran sering menjadi ukuran yang lebih kukuh daripada retorik kempen. Janji boleh disusun dengan indah, tetapi prestasi ialah sesuatu yang telah pun melalui penilaian rakyat sepanjang tempoh memegang amanah.

Kemenangan Onn Hafiz di Machap pada PRN Johor yang lalu dengan majoriti 6,543 undi turut memberikan gambaran bahawa beliau pernah menerima keyakinan yang jelas daripada pengundi di kawasan tersebut. Sudah tentu majoriti lampau bukan jaminan kemenangan baharu. Namun, ia tetap menjadi petunjuk bahawa hubungan politik antara beliau dan pengundi Machap telah dibina melalui pengalaman, bukannya sekadar persepsi.

Kehadiran Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengiringi Onn Hafiz pada hari penamaan calon turut memperlihatkan sokongan kepimpinan parti terhadap usaha mempertahankan Machap.

Menariknya, kenyataan ringkas Onn Hafiz bahawa "apa sahaja boleh berlaku" memperlihatkan pendekatan yang lebih berhati-hati daripada seorang pemimpin yang memahami bahawa mandat rakyat tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang automatik. Sikap tersebut menunjukkan penghormatan terhadap proses demokrasi dan pengundi, di samping mengingatkan jentera bahawa setiap undi tetap perlu diusahakan.

Akhirnya, pengundi Machap tidak sekadar memilih seorang wakil rakyat. Mereka sedang membuat keputusan sama ada mahu meneruskan kesinambungan kepimpinan yang telah mereka kenali atau ‘mencuba’ dan berakhir dengan penyesalan kerana salah pilih.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال