KUALA LUMPUR: Pelakon popular era 1990-an, Ridani Ghani, 52, dilaporkan masih berada dalam keadaan sangat kritikal dan sedang menerima rawatan di Wad Penjagaan Paliatif, Hospital Selayang.
Anak sulungnya, Muhammad Faris Syamir Jaafar, 35, berkata ibunya ketika ini ditidurkan bagi membantu mengurangkan penderitaan yang dialami, namun menjelaskan prosedur itu tidak dilakukan sepenuhnya.
"Untuk status ibu sekarang, dia sangat-sangat kritikal. Jadi doktor membuat keputusan untuk tidurkan ibu, tetapi bukan sepenuhnya.
"Mereka terpaksa lakukan demikian kerana ibu sangat terseksa apabila berada dalam keadaan sedar," katanya kepada BH Online.
Menurut Muhammad Faris, dua hari lalu ibunya tidur selama kira-kira 28 jam, manakala kelmarin Ridani kembali ditidurkan bermula jam 11 pagi dan sehingga kini masih belum sedarkan diri.
Berkongsi lanjut, Muhammad Faris berkata, ibunya disahkan menghidap kanser ovari pada Oktober tahun lalu, namun penyakit itu ketika dikesan sudah berada pada tahap serius.
"Ibu kami disahkan menghidap kanser ovari tahun lalu tetapi ketika itu keadaannya sudah berada pada fasa teruk," katanya.
Terdahulu, penyampai radio, Sharifah Shahirah atau Shiera menerusi media sosial memaklumkan Ridani yang menerima rawatan di Hospital Selayang sejak Sabtu lalu kini berada dalam keadaan tidak stabil.
Sumber.
Tags
Hiburan

