KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengumumkan penstrukturan semula pentadbirannya berkuat kuasa serta-merta sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Pengerusi PN, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata rombakan itu dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan mengikut Fasal 8.3 (V), (VI) dan (VII) Perlembagaan Perikatan Nasional.
"Menerusi penstrukturan itu, Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin diberhentikan sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya dan digantikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor.
"Pada masa sama, Muhammad Sanusi turut diberhentikan daripada jawatan Bendahari PN dengan tempat beliau diambil alih oleh Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), S Subramaniam.
"Selain itu, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diberhentikan daripada jawatan Timbalan Setiausaha Agung (PN) bagi memenuhi kehendak Perlembagaan PN," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan sejurus Mesyuarat Ahli Parlimen Pembangkang yang diadakan di Ibu Pejabat PAS, malam ini.
Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata, satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh organisasi gabungan berkenaan.
Tags
Politik


