Malaysia Hot

RWMF kekal festival muzik bertaraf dunia, tarik ribuan pengunjung


KUCHING: Penganjuran Rainforest World Music Festival (RWMF) ke-29 terus mendapat sambutan memberangsangkan apabila ribuan pengunjung membanjiri lokasi festival, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai acara muzik dan pelancongan bertaraf antarabangsa.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kejayaan festival itu membuktikan RWMF kekal sebagai antara acara muzik dunia paling dinanti-nantikan, selain menjadi platform penting dalam mempromosikan kepelbagaian budaya dan keindahan alam semula jadi Sarawak.

Beliau berkata kerajaan negeri optimis sambutan terhadap festival itu akan terus meningkat menjelang penganjuran edisi ke-30 pada tahun depan, yang dijangka diraikan dengan lebih meriah bersempena dengan ulang tahun penting festival berkenaan.

"Tahun depan, kita akan meraikan ulang tahun ke-30 RWMF, dan saya tahu bahawa festival ini sememangnya sangat terkenal di seluruh dunia.

" … festival ini berada dalam kelompok 20 festival muzik terbaik di dunia," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian RWMF 2026 di Kampung Budaya Sarawak, Santubong malam tadi.

Beliau berkata pengiktirafan terhadap festival itu selama ini membuktikan keupayaannya menarik kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa.

Kemunculan penyanyi dan komposer tersohor negara Datuk M Nasir juga menjadi antara detik paling dinanti-nantikan pada malam pembukaan RWMF apabila beliau berjaya memukau ribuan pengunjung yang memenuhi pentas utama.

Persembahan penuh bertenaga itu menyaksikan pengunjung turut menyanyikan lagu-lagu popular beliau.

M Nasir tampil dengan gabungan elemen muzik tradisional dan kontemporari, yang selari dengan konsep RWMF yang mengetengahkan kepelbagaian budaya dan muzik dunia.

-- BERNAMA
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال