Saya bukan anak Negeri Sembilan. Sebelum krisis ini berlaku, saya tidak tahu sangat apa itu Undang Yang Empat. Saya tidak tahu apa itu DKU. Saya juga tidak tahu bahawa Negeri Sembilan mempunyai sistem yang begitu unik sehingga pemilihan Yang di-Pertuan Besarnya menjadi inspirasi kepada sistem Yang di-Pertuan Agong Malaysia hari ini.
Tetapi apabila krisis ini meletus, saya mula membaca. Saya membaca sejarah, berita dan penulisan pakar. Saya membaca Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan. Saya membaca kronologi demi kronologi.
Dan semakin banyak saya membaca, semakin saya hairan dengan cara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan Kerajaan Madani menguruskan krisis ini.
Sebagai orang luar, logik saya mudah. Kalau 4 orang (5 jika mengambil kira Tunku Besar Tampin) yang diberi kuasa secara adat, sejarah dan perlembagaan untuk menentukan perkara berkaitan institusi Yang di-Pertuan Besar sudah mencapai kata sepakat, sudah tentu mereka lebih memahami hujung pangkal perkara tersebut berbanding ahli politik yang datang dan pergi setiap 5 tahun.
Undang Yang Empat bukan ahli DAP.
Undang Yang Empat bukan ahli PKR.
Undang Yang Empat bukan ahli UMNO.
Undang Yang Empat bukan calon pilihan raya.
Mereka adalah institusi yang telah wujud jauh lebih lama daripada mana-mana parti politik moden di negara ini.
Sebab itu saya semakin sukar memahami mengapa kerajaan negeri seolah-olah memilih jalan konfrontasi berbanding jalan musyawarah.
Lebih mengecewakan, kerajaan Persekutuan pula dilihat seolah-olah menambahkan lagi kekusutan keadaan.
Bagi saya, antara episod yang paling memalukan ialah apabila muncul laporan berita bahawa anggota polis menghalang pergerakan pihak-pihak tertentu yang terlibat dalam urusan pemasyhuran dan mengawal akses kepada Raja-Raja yang ingin bertemu pihak yang terlibat.
Walaupun PDRM menjelaskan tindakan mereka dibuat atas alasan keselamatan dan ketenteraman awam, persepsi yang terhasil di mata rakyat amat buruk.
Bayangkan bagaimana ia kelihatan kepada rakyat biasa. Sebuah krisis adat dan perlembagaan sedang berlaku. Institusi diraja sedang menjadi perhatian.
Kemudian yang kelihatan di kaca televisyen dan media sosial ialah polis berkawal, laluan disekat, ketegangan berlaku dan pelbagai dakwaan saling bercanggah.
Ini bukan gambaran sebuah kerajaan yang berjaya mengawal keadaan. Ini gambaran sebuah kerajaan yang gagal meredakan keadaan sebelum ia menjadi lebih besar.
Lebih saya membaca, lebih saya tertanya-tanya. Mengapa kerajaan negeri tidak memilih jalan perundingan sejak awal?
Mengapa kerajaan Persekutuan tidak mengambil pendekatan berkecuali sepenuhnya?
Mengapa keadaan dibiarkan sehingga institusi adat, institusi diraja, kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan dan mahkamah semuanya berada dalam satu pertikaian yang sama?
Sebagai rakyat biasa, saya tidak mempunyai akses kepada semua fakta. Mahkamah akan menentukan isu undang-undang yang masih dipertikaikan.
Tetapi sebagai pemerhati dari luar Negeri Sembilan, saya melihat satu perkara yang agak jelas.
Apabila majoriti pihak yang menjaga adat dan institusi itu sendiri telah mencapai pendirian yang sama, saya lebih cenderung untuk mempercayai bahawa mereka mengetahui sesuatu yang tidak diketahui oleh orang luar.
Dan apabila kerajaan negeri serta kerajaan Persekutuan dilihat lebih banyak mempertikaikan daripada mendamaikan, sukar untuk menyalahkan rakyat yang mula mempersoalkan sama ada krisis ini benar-benar diuruskan dengan kebijaksanaan yang sepatutnya.
Sejarah akhirnya akan menentukan siapa yang betul dari sudut undang-undang.
Tetapi sejarah juga akan merekodkan siapa yang berjaya meredakan krisis dan siapa yang menjadikannya lebih besar daripada yang sepatutnya.
Kita tunggu episod seterusnya.

