Malaysia Hot

Tyra Banks saman Netflix, dakwa difitnah dalam dokumentari


LOS ANGELES: Supermodel dan hos rancangan realiti terkenal, Tyra Banks memfailkan saman fitnah terhadap Netflix dan pengarah siri dokumentari Reality Check: Inside America's Next Top Model dengan mendakwa penerbit memanipulasi rakaman temubual untuk membina naratif palsu mengenai dirinya.

Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Persekutuan Los Angeles, Sabtu lalu, Banks yang juga pencipta dan hos program America's Next Top Model (ANTM) mendakwa beliau ditemubual selama tiga jam 30 minit termasuk mengakui tanggungjawab terhadap beberapa keputusan kontroversi yang dibuat dalam rancangan berkenaan.

Bagaimanapun, menurut saman itu, rakaman temubual tersebut disunting menjadi hanya 16 minit dan didakwa dimanipulasi bagi menyokong naratif palsu serta berunsur fitnah yang tidak mencerminkan kenyataan sebenar beliau, lapor AP.

"Penerimaan tanggungjawab oleh Banks akhirnya dipotong dalam proses suntingan. Ia dirakamkan, namun, penonton tidak pernah diberi peluang untuk melihatnya," kata peguam Banks.

Sebelum ini, Banks pernah mengulas mengenai kritikan terbabit dengan mengakui ada beberapa detik dalam ANTM yang tidak sensitif serta beberapa keputusan yang kurang tepat.

Menurut saman itu, penerbit dokumentari Netflix menggunakan kaedah suntingan terpilih, pengguguran maklumat secara sengaja dan manipulasi rakaman bagi membentuk naratif bahawa Banks membiarkan seorang peserta menjadi mangsa serangan seksual ketika program itu berlangsung.

Beliau juga didakwa menggunakan trauma peserta terbabit untuk meningkatkan rating program sebelum gagal mengingati insiden berkenaan ketika ditanya dalam sesi temu bual.

Peguam Banks dilaporkan menghubungi Netflix, Mac lalu, bagi mendapatkan akses kepada rakaman penuh sesi temu bualnya, namun, permintaan itu ditolak oleh Netflix dan EverWonder, lapor AP.

Sejak dokumentari itu ditayangkan, reaksi orang ramai didakwa pantas dan keras terhadap Banks. Malah, kedai aiskrim miliknya, SMiZE & DREAM di Sydney, Australia, turut menjadi sasaran ulasan negatif beramai-ramai di Google.

"Setiap perbincangan mengenai legasi ANTM, termasuk refleksi jujur yang ingin dikongsikan Banks, kini tenggelam akibat tuduhan yang tidak pernah diberi peluang untuk dijawabnya.

"Saman ini adalah jawapan beliau, terutama selepas usaha menyelesaikan perkara itu secara langsung dengan Netflix dan penerbit ditolak," kata peguam Banks. 

Sumber.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال