Naratif kononnya UMNO BN Negeri Sembilan “gila kuasa”, mahu merampas jawatan Menteri Besar atau menggunakan isu adat sebagai alasan politik adalah gambaran yang tersasar daripada realiti sebenar.
Hakikatnya, pendirian UMNO BN hari ini bukan soal perebutan kuasa. Ia lahir daripada krisis keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar susulan cara isu melibatkan institusi adat dan perlembagaan negeri dikendalikan sehingga menimbulkan kegelisahan awam serta menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri.
UMNO BN tidak pernah mencampuri urusan adat. Parti politik bukan pihak yang menentukan siapa benar atau salah dalam hal ehwal adat Negeri Sembilan. Sistem adat di negeri ini mempunyai kedudukan tersendiri yang mesti dihormati oleh semua pihak.
Namun apabila kenyataan dan tindakan pihak eksekutif kerajaan negeri dilihat memasuki ruang adat (Cross the line), membelakangkan proses dalaman kerajaan negeri serta membiarkan isu sensitif berkembang menjadi polemik terbuka, maka ia bukan lagi isu adat semata-mata. Ia telah menjadi isu kepimpinan, pengurusan krisis dan keyakinan terhadap kerajaan negeri.
Selepas Pilihan Raya Negeri lalu, UMNO BN memilih untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan Negeri atas semangat tanggungjawab dan kestabilan. Keputusan itu membuktikan UMNO BN tidak mengejar kuasa semata-mata. Jika matlamatnya hanya jawatan, ruang untuk percaturan politik sudah lama wujud. UMNO memiliki kelebihan 14 kerusi DUN ketika itu.
Sebaliknya, UMNO BN meletakkan kepentingan rakyat dan kestabilan negeri sebagai keutamaan tetapi apabila keyakinan terhadap Menteri Besar semakin terhakis akibat kegagalan menangani isu secara tertib, UMNO BN tidak boleh terus menanggung beban politik terhadap kelemahan tersebut.
Lebih membimbangkan, wakil UMNO BN dalam pentadbiran negeri didakwa tidak dimaklumkan secara sewajarnya mengenai perkembangan penting berkaitan krisis berkenaan. Keadaan ini menunjukkan wujud kelemahan serius dalam tadbir urus dan komunikasi dalaman kerajaan negeri.
Isyarat lebih jelas dapat dilihat apabila beberapa perkembangan rasmi menimbulkan persoalan besar terhadap tahap hubungan antara institusi negeri dan pentadbiran sedia ada. Ini bukan perkara kecil tetapi menyentuh maruah institusi serta kestabilan pentadbiran.
UMNO BN juga menegaskan bahawa parti ini sentiasa menjunjung kasih dan menghormati Institusi Diraja serta Institusi Adat Negeri Sembilan. Justeru, penyelesaian kepada sebarang kemelut mestilah dibuat mengikut lunas Perlembagaan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan tertib institusi.
Apa yang berlaku hari ini bukan pertempuran kuasa tetapi keperluan untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negeri. Negeri Sembilan memerlukan pentadbiran yang matang, tersusun dan berupaya mengurus isu sensitif tanpa menjejaskan keharmonian.
UMNO BN tidak mencari konflik tetapi apabila kestabilan negeri tergugat, parti mempunyai tanggungjawab moral dan politik untuk mengambil pendirian yang jelas kerana akhirnya, soal sebenar bukan siapa mahu menjadi Menteri Besar. Soal sebenar ialah siapa mampu memimpin dengan tertib, dihormati institusi, dan diyakini rakyat.
Dan hakikatnya, kenapa MB Negeri Sembilan, Aminuddin Harun membelakangi jemaah EXCO dalam isu sebesar ini?


Comments
Post a Comment