Jamal: Tindakan Siew Ki punca tercetus kebiadaban terhadap Sultan Selangor

Datuk Seri Jamal Md Yunos

PEMIMPIN UMNO Selangor menyelar tindakan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki, yang didakwa membangkitkan isu ternakan babi secara terbuka sehingga mencetuskan polemik melampau dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menyifatkan kenyataan wakil rakyat DAP itu bukan sahaja menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu dan Islam, malah dilihat sebagai batu api yang mengundang penghinaan terhadap institusi diraja.

Wong Siew Ki & Lim Guan Eng

Menurut Jamal, isu yang dibangkitkan itu telah membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk bertindak lebih melampau, termasuk tularnya satu gambar suntingan biadab yang menghina wajah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Tindakan sebegini adalah satu penghinaan keterlaluan terhadap institusi diraja Selangor dan tidak boleh diterima sama sekali oleh rakyat yang menjunjung kedaulatan Sultan.

"Saya ingin menegaskan bahawa tindakan ADUN Seri Kembangan yang gagal memahami sensitiviti rakyat serta terus memainkan isu yang mencetuskan kemarahan awam adalah punca kepada tercetusnya keadaan yang tidak sihat ini.

"Sehubungan itu, saya selaku Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar mewakili UMNO Selangor akan membuat laporan polis agar siasatan segera dijalankan terhadap YB Wong Siew Ki serta individu-individu yang terlibat dalam penyebaran gambar penghinaan terhadap Sultan Selangor," tegas beliau dalam satu kenyataan media.

Susulan itu, Jamal yang mewakili UMNO Selangor memaklumkan akan membuat laporan polis bagi mendesak siasatan segera dijalankan terhadap Wong Siew Ki serta individu yang terlibat dalam penyebaran gambar menghina baginda Sultan.

"Jangan sesekali cuba menguji kesabaran rakyat Selangor dalam isu yang melibatkan maruah Sultan dan negeri," tambah Jamal lagi.

Katanya, UMNO Selangor menuntut agar pihak berkuasa mengambil langkah drastik bagi mengekang sebarang cubaan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan kedaulatan institusi diraja.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.