Naratif kononnya UMNO menjadi punca DAP berkuasa sering dimainkan oleh pihak tertentu, namun sejarah politik negara menceritakan perkara yang jauh berbeza. Jika mahu berlaku adil, lihat semula fakta dan perjalanan politik sejak dua dekad lalu.
Ketika PAS bekerjasama dengan DAP dalam era Barisan Alternatif dan kemudian Pakatan Rakyat, kedua-dua parti saling mengukuhkan antara satu sama lain. PAS membuka laluan kepada DAP untuk lebih diterima oleh sebahagian pengundi Melayu dengan memberikan “cop halal politik”, manakala DAP membantu PAS menembusi kawasan campuran dan menarik sokongan bukan Melayu melalui naratif “PAS for All”.
Hasil kerjasama itu amat jelas. Kerusi DAP melonjak daripada hanya 10 kerusi Parlimen pada 1999 kepada 38 kerusi pada 2013. Dalam tempoh tersebut, beberapa kubu kuat Barisan Nasional berjaya diruntuhkan dan sebahagiannya kekal menjadi kawasan pembangkang sehingga hari ini. Realitinya, PAS pernah menjadi jambatan utama yang memudahkan DAP mendekati pengundi Melayu.
Pada Pilihan Raya Umum 2018, apabila PAS tidak lagi bersama DAP, ruang itu diambil alih oleh Bersatu dalam gabungan Pakatan Harapan. Keputusannya, DAP mencapai pencapaian tertinggi dalam sejarah apabila memenangi 42 kerusi Parlimen. Ironinya, pada tahun yang sama juga pernah muncul laporan bahawa PAS memuji DAP dan membuka ruang kerjasama semula.
Justeru, agak pelik apabila hari ini pihak yang pernah mengangkat kekuatan DAP dan berkongsi pentas dengannya menjadi kelompok paling lantang menuduh UMNO sebagai punca DAP berpengaruh.
Hakikatnya, PAS dan Bersatu pernah bekerjasama secara tersusun, bertanding di bawah satu gabungan, menggunakan logo bersama dan berkempen sehaluan demi menjatuhkan BN. Itu adalah fakta politik yang tidak boleh dipadamkan dengan retorik semasa.
Berbeza dengan keadaan hari ini, UMNO berada dalam Kerajaan MADANI atas asas realiti politik pasca PRU15. Apabila Parlimen tergantung tanpa mana-mana gabungan memiliki majoriti mudah, kerjasama rentas parti menjadi satu-satunya pilihan untuk membentuk kerajaan yang stabil. Ia bukan perancangan awal, sebaliknya keperluan demi mengelakkan negara terus terumbang-ambing.
UMNO juga tidak menambah satu pun kerusi DAP. Semua parti membawa jumlah kerusi yang dimenangi atas mandat rakyat masing-masing. Dakwaan kononnya kekalahan UMNO sengaja dirancang semata-mata untuk bekerjasama dengan DAP adalah hujah yang tidak masuk akal.
Jika benar UMNO begitu hebat merancang, bukankah lebih mudah untuk menang besar secara solo? Sudah tentu lebih mudah mentadbir tanpa perlu mengurus kehendak banyak parti, tanpa perlu berkompromi, dan tanpa perlu berdepan kritikan daripada ahli sendiri.
Hakikat pahit yang perlu diterima ialah kekalahan teruk UMNO sebelum ini bukan semata-mata kerana seorang pemimpin. Faktor lebih besar datang daripada musuh dalam selimut, budaya sabotaj dalaman, sikap cah keting, perpecahan sesama sendiri dan dendam politik dalam parti. Malah terdapat juga adengan merasuah pengundi siap dengan bersumpah laknat?
Sejarah sudah membuktikan pihak yang hari ini paling kuat menjerit tentang DAP, sebenarnya pernah menjadi pemangkin utama kepada kebangkitan parti itu. Dan sejarah, seperti biasa, tidak pernah menipu.


Comments
Post a Comment