Kenyataan Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia yang menyerang kelemahan sistem pengangkutan awam negara mungkin kedengaran prihatin terhadap rakyat. Namun ramai melihat ia sekadar contoh klasik pepatah lama gajah depan mata tak nampak, kera di seberang laut nampak.
Mudah benar menuding jari kepada kerajaan Persekutuan mengenai LRT, MRT dan KLIA tetapi apabila menyentuh kelemahan nyata di negeri-negeri di bawah pentadbiran PAS sendiri tiba-tiba suara menjadi perlahan, malah ada yang terus membisu.
Jika benar perjuangan mereka atas nama rakyat, mengapa kritikan hanya tertumpu kepada Putrajaya? Mengapa tidak kedengaran nada yang sama terhadap masalah kronik di negeri-negeri yang ditadbir PAS?
Di Kelantan misalnya, isu asas rakyat telah berlarutan terlalu lama. Bekalan air bersih, peluang pekerjaan, penghijrahan anak muda, pembangunan infrastruktur, pelaburan baharu dan sistem pengangkutan tempatan terus menjadi rungutan rakyat sejak puluhan tahun.
Kelantan bukan baru sehari dua diperintah. Sudah lebih empat dekad rakyat memberi mandat dan menunggu perubahan menyeluruh.
Rakyat menunggu air paip yang bersih dan konsisten.Rakyat menunggu pekerjaan yang mampu menahan anak muda daripada berhijrah.Rakyat menunggu pembangunan yang setanding negeri lain.Rakyat menunggu sistem pengangkutan yang moden dan terancang.
Malangnya sehingga hari ini, banyak isu asas masih berulang. Jika benar PAS begitu tegas terhadap mutu pengangkutan awam negara, mengapa tiada ketegasan yang sama terhadap kelemahan negeri sendiri?
Mudah untuk bercakap tentang gangguan bagasi di KLIA atau masalah tren di Lembah Klang kerana ia jauh dari kawasan sendiri. Lebih sukar untuk bercakap tentang jalan rosak, peluang kerja sempit, belia berhijrah dan kemudahan asas yang masih tertinggal di negeri sendiri.
Itulah sebabnya rakyat melihat kritikan seperti ini lebih bersifat politik berbanding prinsip.
Jika ikhlas membela rakyat, kritikan mesti konsisten. Salah tetap salah, sama ada berlaku di pusat atau di negeri sendiri.
Sebelum mengajar kerajaan pusat soal kecekapan, negeri-negeri yang ditadbir PAS sepatutnya menjadi model terbaik pentadbiran.
Tunjukkan bandar yang tersusun.
Tunjukkan ekonomi yang berkembang.
Tunjukkan pengangkutan awam tempatan yang efisien.
Tunjukkan peluang pekerjaan yang melimpah.
Tunjukkan rakyat tidak perlu berhijrah.
Jika itu semua berjaya, kritikan terhadap pusat akan lebih dihormati.
Zaman hari ini rakyat tidak mudah terpengaruh dengan kenyataan bermusim. Mereka melihat rekod, membandingkan prestasi dan menilai keikhlasan.
Apabila seseorang terlalu sibuk mencari kelemahan orang lain tetapi menutup kelemahan sendiri, rakyat tahu membezakan antara teguran ikhlas dan propaganda politik.
Mengkritik kerajaan pusat bukan satu kesalahan. Teguran yang membina memang perlu tetapi teguran akan hilang nilai apabila ia selektif dan penuh hipokrasi.
Jika benar mahu membela rakyat, mulakan dengan membetulkan rumah sendiri dahulu. Kelantan khususnya sudah terlalu lama menunggu pembaikan yang dijanjikan.



Comments
Post a Comment