Rafizi Tidak Puas Hati UMNO Tidak Sertai Himpunan Tangkap Azam Baki


Tindakan Rafizi Ramli yang dilihat mempersoalkan keputusan UMNO untuk tidak menyertai Himpunan Tangkap Azam Baki menimbulkan persoalan, adakah himpunan itu benar-benar berteraskan perjuangan rakyat atau sekadar pentas politik bagi menghidupkan semula karier yang semakin suram sejak kalah kepada Nurul Izzah dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti yang lalu?

UMNO mempunyai hak mutlak untuk menentukan pendirian sendiri dan tidak wajib menyertai setiap demonstrasi jalanan yang sarat dengan kepentingan pihak tertentu. Parti itu memilih saluran institusi, perbahasan dasar dan pendekatan demokratik, bukannya menjadi alat kepada mana-mana tokoh politik yang sedang mencari momentum baharu.

Lebih menarik, rakyat mula melihat bagaimana himpunan yang sepatutnya memfokuskan isu integriti akhirnya bertukar menjadi pentas Rafizi membuat kenyataan politik mengenai kemungkinan menubuhkan parti baharu. Jika benar matlamat utama adalah reformasi institusi, mengapa pentas itu digunakan untuk menguji sokongan politik peribadi?

Mengapa Azam Baki dijadikan sasaran utama oleh kelompok tertentu? Adakah ia benar-benar soal prinsip atau kerana ramai dalam kalangan mereka pernah berdepan siasatan dan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)?

Rakyat tidak lupa bahawa SPRM telah mengheret ramai tokoh berprofil tinggi ke muka pengadilan, termasuk individu berpengaruh dan ahli keluarga elit politik negara. Maka tidak hairan jika ada pihak melihat serangan terhadap Azam Baki sebagai usaha melemahkan institusi yang dianggap mengganggu kepentingan mereka. Adakah Rafizi hilang tempat bergantung?

Dalam masa sama, Rafizi sendiri tidak terlepas daripada pelbagai persoalan berkaitan integriti dan dakwaan isu penyelewengan yang pernah diperkatakan umum. Justeru, cubaan meletakkan diri sebagai simbol kesucian politik pastinya mengundang skeptikal rakyat.


Lebih memeranjatkan, dalam himpunan yang kononnya membawa suara rakyat itu, Rafizi turut menyerang Menteri, R. Ramanan dengan tuduhan liar. Ini menimbulkan persepsi bahawa sesiapa sahaja yang tidak sehaluan akan dijadikan sasaran, walaupun berada dalam kerajaan sendiri.

Apakah mesej yang cuba disampaikan? Bahawa semua parti dan pemimpin yang hadir perlu tunduk kepada naratif beliau? Bahawa hanya suara Rafizi yang paling benar?

Rakyat hari ini semakin matang. Mereka tahu membezakan antara perjuangan tulen dan sandiwara politik. Jika sesuatu himpunan akhirnya lebih banyak berkisar tentang cita-cita individu berbanding nasib rakyat, maka jelas ia bukan gerakan reformasi sebaliknya kempen politik berselindung.

UMNO tidak perlu meminta maaf kerana enggan menyertai himpunan bermotif politik. Kadangkala keputusan untuk tidak hadir adalah tanda kebijaksanaan, agar parti tidak diperalatkan demi cita-cita peribadi seseorang.



Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.