Royalti Terengganu, ‘Lagu’ Menjelang Pilihan Raya


Dalam politik, separuh kebenaran kadangkala lebih bahaya daripada pembohongan penuh. Apabila sesuatu isu diceritakan secara terpilih dan tidak lengkap, ia mudah menimbulkan persepsi salah, emosi marah dan akhirnya fitnah yang berpanjangan.

Begitulah yang berlaku dalam polemik royalti minyak Terengganu. Ada yang cuba membawa naratif bahawa negeri itu tidak menerima royalti sepenuhnya. Ada juga yang melemparkan dakwaan kononnya wujud campur tangan politik tertentu dalam agihan tersebut.

Namun apabila angka sebenar dibuka, cerita menjadi jauh berbeza.

Hakikatnya, kerajaan Terengganu menerima RM1.553 bilion hasil royalti pada tahun 2024. Persoalan utama bukan sekadar berapa diterima tetapi bagaimana wang itu dibelanjakan.

Pecahan penggunaannya menunjukkan sebahagian besar dana tersebut digunakan untuk keperluan operasi dan komitmen kerajaan negeri sendiri.

Sebanyak RM733.046 juta dimasukkan ke akaun kerajaan negeri. Daripada jumlah itu, RM706.72 juta atau 96.4 peratus digunakan bagi pembayaran gaji, emolumen, bonus termasuk lantikan politik.

Selain itu, RM400.77 juta dibayar terus kepada kontraktor kerajaan negeri, manakala RM100.72 juta digunakan untuk pembayaran hutang kerajaan negeri.

Baki RM318.5 juta pula diperuntukkan bagi bayaran tertangguh projek pembangunan milik kerajaan negeri serta komitmen lain.

Jika setiap sen digunakan untuk operasi kerajaan negeri, pembayaran hutang dan projek pembangunan negeri sendiri, maka di manakah asas dakwaan kononnya berlaku penganiayaan, kezaliman atau kejahatan kerajaan Pusat?

Ya, terdapat mekanisme tertentu yang melibatkan bayaran terus kepada kontraktor, namun ia bukan bermaksud dana “hilang” atau “dirampas”. Sebaliknya, kaedah itu memudahkan aliran tunai, mempercepat pembayaran dan mengurangkan risiko kelewatan kepada kontraktor serta penjawat awam negeri.

Dalam bahasa mudah, jika wang disalur terus ke akaun negeri, ia tetap akan digunakan untuk membayar kontraktor. Jika dibayar terus oleh pusat, kerajaan negeri hanya perlu merekodkan transaksi tersebut.

Fungsinya sama. Yang berbeza hanyalah mekanisme pembayaran.

Ada juga pihak cuba menggambarkan kononnya autonomi negeri terhakis. Hakikatnya, pembayaran komitmen kerajaan negeri sendiri tidak bermakna kuasa negeri dirampas.

Sebaliknya, ia menunjukkan keutamaan diberikan kepada memastikan projek berjalan, hutang dilunaskan dan pembayaran dibuat tanpa gangguan.

Autonomi bukan sekadar siapa memegang cek tetapi siapa menikmati hasil dan bagaimana ia digunakan untuk rakyat.

Jika benar ada projek pembangunan negeri yang tersekat akibat isu royalti, nyatakan secara terbuka projek mana yang ditolak, kertas cadangan mana yang gagal diluluskan dan manfaat apa yang dinafikan kepada rakyat.

Jika benar projek yang baik disekat, pasti ramai akan bersatu menyokong tuntutan negeri. Namun setakat ini, dakwaan yang dibawa lebih banyak berlegar di pentas politik berbanding di atas meja fakta.

Rakyat hari ini semakin cerdas menilai. Mereka tidak mudah terpengaruh dengan naratif mangsa yang diulang tanpa data.

Apa yang rakyat mahu ialah kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan demi pembangunan, peluang pekerjaan, infrastruktur dan kesejahteraan hidup.

Royalti bukan alat berpolitik. Royalti ialah amanah rakyat.

Sudah tiba masa meninggalkan politik “play victim” dan menyalahkan pihak lain setiap kali timbul isu kewangan.

Apabila fakta dibentangkan, jelas bahawa wang royalti digunakan untuk keperluan negeri sendiri. Maka yang lebih penting sekarang bukan mencipta musuh tetapi membina kerjasama.

Kerana akhirnya, rakyat tidak peduli siapa mahu bergaduh. Rakyat mahu hasil.




Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.