Krisis Negeri Sembilan: Pelantikan Undang Baharu Tidak Sah - Lembaga Adat Sungai Ujong


Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungai Ujong tampil mengemukakan beberapa dokumen bagi menyokong dakwaan bahawa pelantikan Muhammad Faris bin Johari sebagai Undang Luak Sungai Ujong ke-11 adalah tidak sah dan melanggar aturan adat Sungai Ujong.

Dalam kenyataan rasmi bertarikh 5 Mei 2026, mereka menegaskan pelantikan seorang Undang Luak Sungai Ujong perlu dibuat melalui persetujuan sebulat suara ibu-ibu soko waris Klana Hulu dan Klana Hilir, persetujuan sebulat suara Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungai Ujong serta pengisytiharan oleh Dato’ Shahbandar Sungai Ujong.

Menurut kenyataan itu, proses pelantikan Muhammad Faris didakwa tidak mendapat persetujuan sebulat suara ibu-ibu soko waris Klana Hulu dan Klana Hilir serta tidak mendapat persetujuan Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungai Ujong yang sah.

Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungai Ujong turut mendakwa individu yang mengeluarkan kenyataan berhubung pelantikan itu, Orang Kaya Dato’ Laksamana Shaharumzaman bin Abdul Malek, telah dipecat pada 20 Mac 2026.

Menurut mereka, surat pemecatan Shaharumzaman telah diterima oleh Pejabat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 30 Mac 2026, sekali gus menyebabkan beliau tidak lagi mempunyai kelayakan dalam menentukan aturan adat Luak Sungai Ujong.

Kenyataan itu juga menyentuh nama Zainol Ariffin bin Ibrahim yang disebut sebagai Dato’ Andulika Mandulika Tua Lembaga Waris di-Darat. Mereka mendakwa Zainol Ariffin juga telah dipecat pada 28 November 2024 dan surat pengesahan pemecatan dikeluarkan oleh Pejabat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 2 Disember 2024.

Selain itu, mereka turut mempertikaikan penggunaan nama Majlis Dato’ Lembaga Adat Sungai Ujong dalam kenyataan media terdahulu.

Berdasarkan surat Pejabat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan bertarikh 22 April 2025, penubuhan Majlis Dato’ Lembaga Adat Sungai Ujong tidak terkandung dalam mana-mana fasal Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, selain pentadbiran DKU juga tidak dimaklumkan mengenai sebarang penubuhan majlis tersebut.

Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungai Ujong turut menegaskan bahawa Dato’ Andulika Mandulika Sungai Ujong yang sah ialah Sazali bin Mohamed Yasin, yang dilantik pada 1 April 2025 dan disahkan melalui surat Pejabat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan bertarikh 11 April 2025.

Mereka juga mendakwa Telaga Undang, yang dikaitkan dengan kenyataan pihak tertentu, merupakan rumah keluarga Wan Khairil Adli bin Mohd Yusoff, bekas Dato’ Johan Tua Tahu yang telah dipecat pada 28 November 2024.

Sehubungan itu, mereka menegaskan sebarang kenyataan yang keluar daripada Telaga Undang adalah tidak sah.

Dalam kenyataan sama, Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungai Ujong menzahirkan taat setia sepenuhnya kepada YTM Dato’ Klana Petra Mubarak bin Thahak sebagai Undang Luak Sungai Ujong yang sah.

Mereka turut menasihatkan semua pihak agar urusan Luak Sungai Ujong dirujuk terus kepada Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungai Ujong yang sah bagi mengelakkan kekeliruan berhubung aturan adat yang sedang berlaku.

Perkembangan ini dijangka menambah ketegangan dalam pertikaian pelantikan Undang Luak Sungai Ujong, ketika krisis adat Negeri Sembilan terus menjadi perhatian umum.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.