Krisis Negeri Sembilan: UMNO Kekal Hilang Kepercayaan Terhadap Aminuddin


UMNO Negeri Sembilan hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi melalui Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, YB Dato’ Haji Mustapha Nagoor, menegaskan bahawa mereka masih kekal hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun.

Pendirian tegas itu diumumkan walaupun UMNO negeri akur dan menghormati keputusan pucuk pimpinan parti untuk meneruskan kerjasama bersama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.

Namun di sebalik kestabilan pentadbiran yang cuba dipertahankan, mesej yang dihantar UMNO cukup jelas, krisis keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar masih belum selesai.

Dalam kenyataan rasmi yang ditandatangani Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan tersebut, UMNO menegaskan semua ADUN Barisan Nasional akan terus menjalankan tanggungjawab kepada rakyat serta memastikan kebajikan negeri terus dipelihara.

Namun pada masa sama, UMNO secara terang-terangan menyatakan bahawa Aminuddin Harun gagal menguruskan krisis melibatkan institusi adat sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Kenyataan ini dilihat sebagai tamparan politik besar kepada pentadbiran Menteri Besar kerana isu yang dibangkitkan bukan lagi sekadar soal politik kepartian tetapi menyentuh asas perlembagaan negeri, adat dan kestabilan institusi yang menjadi tunjang Negeri Sembilan sejak sekian lama.

Pemerhati politik melihat pendirian UMNO ini sebagai isyarat bahawa walaupun kerajaan negeri masih berdiri, retakan keyakinan dalam pentadbiran sedia ada semakin sukar disembunyikan.

Lebih membimbangkan, krisis ini kini bukan sahaja diperhatikan rakyat Negeri Sembilan, malah mula mendapat perhatian lebih luas kerana melibatkan sensitiviti Institusi Adat yang sangat dihormati dalam sistem pemerintahan negeri tersebut.

UMNO Negeri Sembilan turut menyeru agar kemelut yang berlaku diselesaikan secara harmoni mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Negeri serta tatacara adat sebenar tanpa tindakan tergesa-gesa yang boleh memburukkan keadaan.

Dalam masa sama, rakyat diingatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan provokatif atau menghina Institusi Adat demi menjaga keharmonian negeri.

UMNO Negeri Sembilan juga berharap penyelesaian krisis ini perlu kembali kepada asas adat, kebijaksanaan dan penghormatan terhadap institusi negeri.

Apa yang pasti, walaupun pentadbiran kerajaan negeri masih berjalan seperti biasa, krisis keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan jelas masih belum berakhir.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.