Mengurus Krisis Negeri Sembilan: Aminuddin Wajar Diganti Segera


Krisis yang melanda Negeri Sembilan kini menuntut satu pendekatan yang matang, berasaskan prinsip dan menghormati struktur adat serta perlembagaan negeri. Dalam suasana yang semakin tegang, timbul pelbagai naratif yang cuba mengheret isu ini ke kancah politik kepartian termasuk dakwaan jahat yang cuba mengaitkan UMNO sebagai pihak yang dipersalahkan.

Hakikatnya, pendirian UMNO kekal konsisten, menjunjung ke bawah Duli Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta mendokong institusi Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin. Prinsip ini bukan bersifat bermusim atau selektif tetapi merupakan asas kepada kestabilan dan keharmonian negeri yang berteraskan Adat Perpatih.

Apa yang dibangkitkan oleh rakyat bukanlah penolakan terhadap institusi adat atau diraja, sebaliknya persoalan terhadap kaedah pengurusan krisis. Tumpuan kritikan terarah kepada pendekatan pentadbiran kerajaan negeri, khususnya kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun yang didakwa bertindak tanpa perundingan menyeluruh.

Menurut Jalaluddin Alias, yang ketika itu merupakan EXCO Kanan dari Barisan Nasional, beliau bersama ADUN BN lain tidak dimaklumkan mengenai langkah-langkah yang diambil. Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang tahap ketelusan dan keterangkuman dalam membuat keputusan yang melibatkan isu sensitif berkaitan adat dan perlembagaan.

Apabila krisis mula tidak mampu ditutup lagi, tiba-tiba ada naratif untuk menyalahkan ADUN Barisan Nasional sedangkan tindakan 14 ADUN BN menarik sokongan kepada Aminuddin adalah kerana ADUN BN tidak ingin bersekongkol dan terpalit dengan tindakan Aminuddin yang tersasar.

Lebih membimbangkan, krisis ini semakin meruncing apabila ia dipolitikkan. Perdebatan yang sepatutnya diselesaikan melalui saluran adat dan perundangan kini beralih kepada polemik terbuka, sekali gus mengeruhkan keadaan dan mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Ironinya, sejarah Negeri Sembilan sendiri telah menyediakan rujukan bagaimana konflik melibatkan institusi adat dan diraja pernah ditangani dengan tertib dan berhemah. Terdapat mekanisme dan pendekatan yang telah terbukti berkesan, namun ia dilihat tidak dimanfaatkan sepenuhnya dalam situasi semasa oleh Aminuddin.

Dalam konteks ini, keutamaan seharusnya diberikan kepada usaha meredakan keadaan, memulihkan keyakinan dan mengembalikan proses kepada landasan yang betul. Ini memerlukan kepimpinan yang inklusif, terbuka kepada pandangan serta menghormati struktur sedia ada.

Krisis ini bukan sekadar ujian politik tetapi ia adalah ujian ke atas keupayaan kepimpinan mengurus isu yang menyentuh asas negeri.

Dan apabila pendekatan yang diambil gagal meredakan keadaan, persoalan tentang keupayaan kepimpinan semasa untuk terus mengemudi negeri secara berkesan pasti akan terus dibangkitkan.

Kini, satu sahaja cara yang boleh kembalikan keyakinan rakyat Negeri Sembilan, Aminuddin perlu diganti dengan segera.



Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.