Dalam landskap politik yang semakin sengit dan pantas berubah, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Dato Sri Azalina Othman Said tampil dengan mesej yang jelas, siapa gagal menguasai media sosial, akan tenggelam dalam persepsi.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) menegaskan bahawa kekuatan maklumat hari ini bukan lagi terletak pada isi semata-mata tetapi pada keupayaan menyampaikannya secara menyeluruh dan berkesan melalui platform digital.
“Maklumat itu penting. Tetapi tanpa gerakan media sosial yang tersusun, sebaik mana pun fakta tidak akan sampai kepada rakyat secara menyeluruh,” tegas beliau.
Ucapan tersebut disampaikan dalam program khas sempena ulang tahun ke-80 UMNO yang memfokuskan “Politik Era Baharu (Digital)”, satu isyarat jelas bahawa parti itu tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah lama dalam mendepani cabaran moden.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama barisan kepimpinan penerangan dari seluruh negara, menandakan keseriusan parti dalam menyusun strategi komunikasi yang lebih agresif dan tersusun.
Menurut Azalina, cabaran terbesar ketika ini bukan sekadar menyampaikan maklumat tetapi menangkis persepsi negatif yang semakin liar di media sosial. Dalam dunia digital, persepsi boleh terbentuk dalam sekelip mata dan jika tidak ditangani, ia mampu merosakkan keyakinan rakyat.
Justeru, beliau menekankan keperluan mendesak untuk memperkasa jentera penerangan parti bukan hanya di peringkat pusat tetapi hingga ke bahagian dan cawangan. Latihan, penyelarasan mesej, serta gerakan yang lebih strategik perlu dilaksanakan segera.
Lebih kritikal, fokus kini terarah kepada negeri-negeri panas politik seperti Johor dan Melaka yang dijangka berdepan Pilihan Raya Negeri dalam masa terdekat.
Ini bukan lagi soal persediaan biasa. Ini adalah perlumbaan persepsi.
“Jika semua peringkat bergerak aktif di media sosial, kita bukan sahaja mampu menangkis sentimen negatif, malah membina semula keyakinan rakyat terhadap usaha yang kita bawa,” ujar beliau dengan penuh keyakinan.
Realitinya hari ini, politik bukan hanya berlaku di pentas ceramah atau dewan konvensyen.
Ia berlaku di skrin telefon, di timeline, di algoritma.
Dan mesej Azalina cukup jelas bahawa balam era digital, siapa menguasai naratif… dialah yang menguasai masa depan.

Comments
Post a Comment