Undang-undang Kebebasan Maklumat (FOI), Ombudsman tingkatkan ketelusan dan hak pekerja - Azalina


Cadangan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) serta penubuhan Ombudsman Malaysia, yang dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang, bakal meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan akses kepada keadilan untuk pekerja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato Sri Azalina Othman Said berkata undang-undang FOI akan memperkukuh perlindungan terhadap pekerja dengan menambah baik akses kepada maklumat berkaitan hak dan dasar buruh.

Beliau menambah, Ombudsman akan berfungsi sebagai saluran bebas untuk aduan berkaitan salah laku pentadbiran, di samping memastikan suara pekerja lebih didengari dan dilindungi.

“Kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai langkah yang memberi manfaat kepada pekerja, termasuk memperluas akses kepada keadilan melalui Akta Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2026.

“Ini termasuk menaikkan had kelayakan pendapatan untuk bantuan guaman kepada RM50,000, serta memperkukuh Dasar Peluang Kedua melalui inisiatif Fastrack bagi mempercepatkan pelepasan status kebankrapan untuk golongan rentan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat (1 Mei).

Beliau berkata, perkhidmatan mediasi percuma bagi pertikaian kontrak yang melibatkan tuntutan RM250,000 ke bawah turut disediakan bagi membolehkan penyelesaian yang lebih cepat dan kos efektif tanpa melalui mahkamah, sekali gus memastikan pekerja, khususnya golongan berpendapatan rendah, mempunyai akses kepada keadilan.

Bersempena Hari Pekerja 2026 bertemakan “Pekerja Madani Kesuma Bangsa”, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pekerja yang menjadi tulang belakang pembangunan negara.

“Hari ini bukan sekadar meraikan sumbangan pekerja tetapi mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam membina sistem yang lebih adil dan inklusif, di mana setiap pekerja dilindungi, dihargai dan diberi peluang yang sama selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya.



Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.