KLUANG: "Saya pernah tanya arwah, selepas habis latihan rekrut nanti nak kahwin ke tak? Dia cakap nanti dulu, dia nak jaga saya dengan ibunya."
Demikian kata-kata Sungip Jais, 65, bapa kepada Allahyarham Siti Khadijah, 24, anggota tentera yang maut dalam tragedi letupan bom ketika Latihan Membaling Grenad di Kem Hobart, Sungai Petani, Kedah, semalam.
Kata-kata itu masih terngiang dalam fikiran bekas pesara tentera itu sebaik dimaklumkan anak bongsu daripada tujuh beradik itu terkorban dalam latihan itu.
"Sebaik dapat berita itu, saya dan isteri (Zaliha Said, 56,) terkilan kerana hasrat arwah tidak kesampaian. Dia sanggup korbankan masa kerana niatnya mahu menjaga kami berdua dahulu.
"Tapi, semua itu perancangan Allah, kami reda atas pemergiannya walaupun terlalu sukar untuk dilalui. Alhamdulillah dia anak yang baik, cemerlang dalam akademik. ," katanya ketika ditemui.
Menurutnya, sebaik menamatkan latihan arwah ditukar ke Taiping, Perak dan kali terakhir melawatnya bulan lalu.
Katanya, dia menerima panggilan daripada pegawai memaklumkan arwah terbabit dalam insiden ketika menjalani latihan.
"Saya terima seadanya, kita nak cakap pun tak boleh sebab kita tidak berada di tempat kejadian," katanya.
Terdahulu, ibu arwah, Zaliha hanya mampu menyebut 'Allahuakbar' beberapa kali setiap kali menyiram air bunga ke atas pusara anaknya itu.
Dalam keadaan nada tersekat-sekat, wanita terbabit tetap menggagahkan diri untuk berdiri namun dibantu Sungip bagi mengelak dia terjatuh.
Allahyarham Siti Khadijah adalah bekas graduan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Sri Gading, Batu Pahat dalam jurusan Diploma Teknologi Kejuruteraan Awam (Jalan Raya dan Pengangkutan).
Dia disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim akibat cedera parah terkena letupan.
Sumber.
Tags
Berita

