KANSAS CITY: Kapten Argentina, Lionel Messi, mencetuskan kontroversi dalam kalangan penyokong apabila terlepas daripada hukuman kad merah susulan terjahan yang dipersoalkan ketika kemenangan 3-0 ke atas Algeria pada aksi Piala Dunia 2026.
Messi menjadi watak utama dengan meledak hatrik pada edisi keenamnya di pentas Piala sekali gus menyamai rekod Miroslav Klose sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman kejohanan itu.
Jaringan awalnya di Stadium Kansas City dibatalkan kerana ofsaid namun beliau berjaya meletakkan Argentina di hadapan pada minit ke-17 menerusi rembatan padu.
Bagaimanapun, penghujung babak pertama menyaksikan pemenang lapan Ballon d'Or itu terpalit dengan kontroversi.
Ketika perlawanan melepasi minit ke-30, tapak kasut Messi dilihat menerjah betis pertahanan Algeria, Aissa Mandi.
Mandi terjatuh sambil menahan kesakitan namun pengadil, Szymon Marciniak bersama pegawai Video Bantuan Pengadil (VAR) tidak menganggap insiden itu memerlukan sebarang tindakan disiplin.
Keputusan itu mengundang kemarahan sebahagian penyokong yang berpendapat mana-mana pemain lain pasti akan dikenakan hukuman lebih berat.
Seorang pengguna X menulis 'ini tidak baik untuk bola sepak. Messi terlepas daripada kad merah yang jelas di pentas dunia adalah sesuatu yang memalukan."
Seorang lagi berkata 'itu sepatutnya kad merah dengan mudah. Saya jangka perkara sama akan berlaku kepada Cristiano Ronaldo. Semuanya diatur supaya mereka dapat bertemu satu sama lain.'
Seorang lagi mengulas 'ini benar-benar keterlaluan. Mana-mana pemain lain pasti sudah dibuang padang.'
Manakala seorang pengguna lain mendakwa 'Messi tidak dilayangkan kad merah kerana dia anak emas FIFA.'
Messi bagaimanapun terus menyerlah pada babak kedua apabila menyempurnakan bola muntah sebelum menambah gol ketiga menerusi rembatan dari luar kotak penalti untuk memastikan kemenangan bergaya 3-0 buat Argentina. -AGENSI
Tags
Sukan

