Malaysia Hot

Azizulhasni dedah ada 'gerakan terancang' cuba singkir Beasley


KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang percaya kemelut melanda ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley ketika ini bukan sekadar membabitkan satu atau dua individu, sebaliknya didakwa mempunyai pihak tertentu yang mengatur gerakan di belakang tabir.

Menurut pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu, berdasarkan pengalamannya yang sudah lama berada dalam arena sukan negara, apa yang berlaku terhadap jurulatih dari Australia berkenaan dilihat seolah-olah dirancang secara teratur.

"Dari pengamatan saya, walaupun kita nampak ada dua individu yang menyalak, tetapi mereka ini ada tuannya.

"Semua ini adalah seolah-olah dirancang dan terancang. Mustahil hanya membabitkan dua atau tiga watak sahaja dan saya percaya semua ini ada satu rangkaian besar," katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Azizulhasni berkata, beliau baru sahaja mengadakan perbualan bersama Beasley bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung isu yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.

"Beasley sendiri minta saya supaya tidak terlalu memikirkan perkara itu dan beri tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi Sukan Komanwel serta Sukan Asia. John cakap kepada saya, 'Azizul, jauhkan diri daripada semua perkara ini dan fokus kepada persiapan untuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia'.

"Bukan sekali atau dua kali, tetapi setiap kali kita sedang membuat persiapan menghadapi kejohanan besar, pasti akan ada pelbagai isu yang timbul," katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang didakwa menyerang Beasley ketika skuad berbasikal negara sedang membuat persiapan penting menjelang dua temasya utama itu.

"Jika benar terdapat pihak yang tidak lagi mahu Beasley meneruskan tugasnya, perkara itu sepatutnya diselesaikan secara profesional menerusi perbincangan dan bukannya melalui serangan terbuka. Kalau betul mereka tidak suka kepada John dan berasakan sudah tiba masanya untuk beliau ditukarkan, itu tidak menjadi masalah.

"Panggil, duduk berbincang elok-elok dan lepaskan secara baik. Dia sendiri tidak kisah kerana dia percaya suatu hari nanti perkara itu akan berlaku," katanya.

Beasley sebelum ini menjadi antara individu penting di sebalik kebangkitan skuad berbasikal trek negara dan memainkan peranan besar dalam kejayaan Azizulhasni meraih pingat Olimpik serta melahirkan beberapa pelumba bertaraf dunia.

Sumber.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال