DALLAS: Graham Potter mengambil alih tugas sebagai jurulatih Sweden pada Oktober lalu ketika kedua-dua pihak memerlukan nafas baharu dan kini mereka hanya selangkah untuk mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia.
Sweden membelasah Tunisia 5-1 dalam perlawanan pembukaan di Mexico minggu lalu lalu untuk menguasai Kumpulan F selepas Belanda diikat Jepun 2-2.
Mereka akan mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik sekiranya menewaskan Belanda di Houston, Ahad ini.
Jika mereka menang dan Jepun gagal menewaskan Tunisia, Sweden juga akan muncul juara kumpulan.
Ia satu kebangkitan luar biasa buat Sweden yang sebelum ini menamatkan kempen kelayakan Eropah di tangga tercorot kumpulan di belakang Switzerland, Kosovo dan Slovenia.
Kepercayaan badan induk bola sepak Sweden terhadap Potter terbukti apabila beliau diberikan kontrak sehingga 2030 pada Mac lalu.
Potter kemudian membalas kepercayaan itu dengan membawa Sweden menewaskan Ukraine dan Poland untuk layak ke Piala Dunia di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat (AS).
Kemenangan besar Sweden ke atas Tunisia di Monterrey dianggap cukup mengagumkan memandangkan wakil Afrika Utara itu menamatkan kempen kelayakan tanpa melepaskan sebarang gol.
Bagaimanapun, Potter enggan terlalu teruja menjelang pertemuan getir menentang Belanda yang menghuni ranking kelapan dunia, 26 anak tangga lebih tinggi berbanding Sweden.
"Ia permulaan yang baik untuk kami. Kami tahu akan berdepan lawan yang berbeza pada perlawanan seterusnya. Kami perlu fokus kepada tugas sendiri dan cara kami bermain sebagai satu pasukan.
"Kami akan bertemu satu lagi pasukan hebat hujung minggu ini yang saya anggap antara calon juara berdasarkan kualiti pemain yang mereka miliki. Ia pasti menjadi perlawanan yang sukar," katanya.
Penyerang Sweden, Alexander Isak dan Viktor Gyokeres masing-masing menjaringkan satu gol ketika menentang Tunisia, manakala pemain tengah Brighton, Yasin Ayari, meledak dua gol.
Ketika ditanya mengenai gandingan Isak dan Gyokeres, Potter yakin kedua-duanya mampu menjadi ancaman besar.
"Saya fikir mereka akan menjadi lebih baik apabila semakin banyak bermain bersama. Mereka saling melengkapi antara satu sama lain. Mereka mempunyai kelebihan dan kualiti yang berbeza," katanya.
Sumber.
Tags
Sukan

