Hiruk di media sosial dan debat kedai kopi sekitar Perling bukan isu siapa makan babi dan siapa tidak. Itu pilihan peribadi serta budaya setiap masyarakat dalam sebuah negara majmuk.
Apa yang menjadi persoalan ialah mengapa seorang calon politik memilih untuk membawa isu penternakan babi sebagai antara mesej kempennya dan mengapa Dato' Seri Rafizi Ramli memilih untuk mempertahankan isu tersebut ketika rakyat sedang berdepan pelbagai isu yang lebih dekat dengan kehidupan harian mereka.
Rafizi berhujah bahawa seorang wakil rakyat perlu membela semua masyarakat, termasuk golongan minoriti. Tiada siapa mempertikaikan prinsip itu. Seorang wakil rakyat sememangnya perlu mendengar dan membawa suara setiap komuniti tanpa mengira kaum atau agama.
Namun, mewakili semua rakyat tidak bermaksud setiap isu perlu dijadikan keutamaan kempen tanpa mengambil kira sejarah, konteks dan sensitiviti awam.
Kenyataan calon BERSAMA di Perling yang dipetik mempersoalkan sama ada terdapat orang yang meninggal dunia kerana tinggal berhampiran kandang babi mengundang kritikan kerana sesetengah pihak melihatnya sebagai terlalu memudahkan isu yang mempunyai latar belakang sejarah yang jauh lebih kompleks. Malah calon dari parti Rafizi sedang memperbodohkan diri sendiri kerana tidak tahu bahawa sejarah hitam negara dengan tragedi ‘virus nipah’.
Malaysia pernah melalui tragedi wabak Virus Nipah yang meragut lebih 100 nyawa serta memberi kesan besar kepada industri penternakan dan komuniti yang terlibat. Atas sebab itu, perbincangan mengenai penternakan babi bukan sekadar berkaitan makanan atau ekonomi. Ia juga menyentuh soal kesihatan awam, pengurusan ladang, alam sekitar dan pengalaman yang masih diingati oleh ramai rakyat.
Sebab itu ramai yang bertanya, adakah calon tersebut benar-benar memahami sejarah isu yang diperkatakannya sebelum memilih menjadikannya sebahagian daripada kempen pilihan raya?
Lebih penting daripada itu, mengapa Rafizi merasakan kenyataan tersebut perlu dipertahankan?
Dalam pilihan raya, setiap isu yang dipilih calon mencerminkan pertimbangan politik parti yang diwakilinya. Apabila kepimpinan parti mempertahankan sesuatu kenyataan, pengundi juga berhak menilai sama ada pendekatan itu benar-benar selari dengan keutamaan rakyat.
Calon lain bercakap tentang kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, kemudahan awam dan pembangunan kawasan. Polemik mengenai penternakan babi pula telah mengambil ruang yang besar dalam kempen calon BERSAMA di Perling. Pengundi berhak bertanya sama ada itulah isu yang paling mendesak untuk diselesaikan di kawasan tersebut.
Ini bukan soal menolak hak mana-mana komuniti.
Ini bukan soal mempertikaikan pilihan makanan sesiapa.
Ini soal kebijaksanaan memilih keutamaan.
Ini soal pertimbangan seorang calon.
Dan ini juga soal keputusan seorang pemimpin parti untuk mempertahankan kenyataan calonnya.
Pilihan raya bukan sekadar menguji siapa paling lantang bercakap. Ia menguji keupayaan calon memahami sejarah, membaca sensitiviti masyarakat dan memilih isu yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat.
Rafizi berhak mempertahankan calonnya.
Tetapi pengundi juga berhak menilai sama ada hujah itu meyakinkan.
Dalam demokrasi, penghujung kepada setiap polemik bukan ditentukan oleh siapa yang paling banyak bercakap tetapi oleh kebijaksanaan pengundi ketika mereka membuat pilihan di peti undi.

