Malaysia Hot

BERSAMA Jadikan Isu Penternakan Babi Agenda Awal PRN Johor?


Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru bermula, namun Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) sudah memperlihatkan dengan jelas isu yang mahu dijadikan antara naratif utama mereka. Ketika kebanyakan parti memberi penekanan kepada kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi, perumahan, kesesakan lalu lintas dan kesejahteraan rakyat, BERSAMA pula memilih untuk mengangkat isu penternakan babi sebagai salah satu fokus kempen.

Pendirian itu dizahirkan sendiri oleh calon BERSAMA bagi kerusi N46 Perling, Boo Wei Han, yang mempertikaikan tindakan terhadap industri penternakan babi serta menggesa kerajaan mengubah pendiriannya.


"Dua tiga generasi bela babi, tiba-tiba suruh tutup. Kami harap kerajaan membuat pusingan U."

Kenyataan tersebut memberi gambaran bahawa BERSAMA melihat isu penternakan babi bukan sekadar isu setempat, malah sebagai agenda politik yang wajar diketengahkan kepada pengundi sepanjang kempen PRN Johor.

Pilihan itu turut menghidupkan semula polemik yang sebelum ini mendapat perhatian di peringkat nasional. Isu penternakan babi menjadi perbahasan selepas timbul kebimbangan mengenai kesannya terhadap alam sekitar, termasuk pencemaran tanah, udara dan sumber air, di samping aspek kesejahteraan komuniti serta keharmonian masyarakat.

Justeru, keputusan BERSAMA menjadikan isu berkenaan sebagai antara tema awal kempen dijangka mengundang pelbagai reaksi. Sebahagian pihak mungkin melihatnya sebagai usaha mempertahankan mata pencarian pengusaha industri tersebut, manakala sebahagian lagi mungkin mempersoalkan sama ada isu itu benar-benar mencerminkan keutamaan majoriti rakyat Johor ketika ini.

Bagi pengundi di Perling khususnya, persoalan yang lebih besar ialah sama ada isu penternakan babi berada di kedudukan teratas dalam senarai keutamaan mereka atau masih terdapat cabaran lain yang lebih mendesak untuk diselesaikan seperti kos sara hidup yang meningkat, peluang pekerjaan berkualiti, perumahan mampu milik, kesesakan trafik, kemudahan awam dan pembangunan setempat.

Pilihan raya pada akhirnya merupakan medan untuk parti-parti politik menawarkan penyelesaian terhadap isu yang paling dekat dengan kehidupan rakyat. Agenda yang dipilih sepanjang kempen juga mencerminkan keutamaan yang ingin diperjuangkan sekiranya diberikan mandat.

Apabila BERSAMA memilih untuk menjadikan isu penternakan babi sebagai antara naratif awal kempen PRN Johor, pengundi kini mempunyai peluang untuk menilai sendiri sama ada isu tersebut benar-benar selari dengan aspirasi mereka atau terdapat keutamaan lain yang lebih penting bagi menentukan masa depan Perling dan Johor secara keseluruhannya.

Persoalannya, adakah penternakan babi merupakan isu paling utama yang ingin didengar oleh pengundi Perling atau rakyat sebenarnya lebih mengharapkan penyelesaian terhadap cabaran ekonomi dan pembangunan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian mereka?
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال