Malaysia Hot

Bellingham faktor penentu England




KANSAS CITY: Jordan Henderson menyifatkan Jude Bellingham sebagai 'X factor' yang mampu menjadi jentera pemusnah utama England dalam usaha memburu kejuaraan Piala Dunia pertama sejak 1966 di bawah kendalian Thomas Tuchel.

England yang antara pasukan pilihan kejohanan dilihat membawa harapan besar selepas beberapa kali hampir mencipta kejayaan di pentas Kejohanan Eropah dan Piala Dunia sebelum ini.

Henderson percaya Bellingham, 22, yang beraksi bersama Real Madrid, sudah menunjukkan kematangan luar biasa sejak kali pertama menyertai skuad kebangsaan pada usia 17 tahun.

"Sejauh mana dia berkembang sebagai pemain dan individu adalah sesuatu yang luar biasa," kata Henderson.

"Saya tahu potensi dia sejak awal lagi ketika melihatnya berlatih dan beraksi. Tetapi apa yang dia capai pada usia begitu muda, ramai orang kadang-kadang terlupa betapa mudanya dia," katanya.

Henderson berkata, Bellingham bukan sahaja penting di atas padang malah turut memberi impak besar dalam pasukan dari segi mentaliti dan kepimpinan.

"Banyak yang diperkatakan di media, tetapi saya tahu betapa besarnya pengaruh dia dalam pasukan ini dan betapa baiknya dia sebagai rakan sepasukan.

"Apa yang dia bawa adalah sesuatu yang istimewa. Dia bermain dalam perlawanan besar, berpengalaman di kejohanan besar, dan dia sangat penting buat kami," katanya.

England kini dibimbing Tuchel yang mula mengemudi pasukan itu sejak tahun lalu dengan misi membawa pulang trofi Piala Dunia pertama sejak 1966.

Henderson memuji perubahan yang dibawa pengendali dari Jerman itu dalam membina budaya dan persekitaran positif dalam skuad Three Lions.

"Dalam tempoh lebih setahun, dia banyak mengubah suasana dan membina budaya yang sangat baik dalam pasukan.

"Tetapi akhirnya pemain juga perlu mengambil tanggungjawab untuk meneruskan momentum itu. Kami rasa kami berada di landasan tepat," katanya.

England akan membuka kempen Kumpulan L menentang Croatia di Arlington, Texas pada Khamis ini sebelum berdepan Ghana dan Panama.

Sumber.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال