Malaysia Hot

Diallo hadiah kemenangan buat Ivory Coast




PHILADELPHIA: Pemain gantian, Amad Diallo muncul wira Ivory Coast apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-90 untuk menewaskan Ecuador 1-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan E Piala Dunia 2026, hari ini.

Jaringan lewat penyerang Manchester United itu bukan sahaja memastikan tiga mata berharga buat Les Elephants, malah menamatkan rekod tanpa kalah Ecuador yang bertahan selama 19 perlawanan dalam semua kejohanan.

Kemenangan itu turut menyaksikan Ivory Coast mengumpul tiga mata untuk menyamai kutipan Jerman yang sebelum ini membelasah Curacao 7-1 dalam satu lagi aksi Kumpulan E.

Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir tanpa jaringan, pertahanan kanan, Wilfried Singo melakukan larian pantas dari kawasan sendiri sebelum melorongkan hantaran lintang tepat ke arah Diallo yang menyempurnakannya dengan sentuhan pertama ke penjuru kiri gawang.

Gol itu memberikan kemenangan pertama Ivory Coast ke atas pasukan Amerika Selatan dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia, selain menandakan permulaan cemerlang buat penampilan sulung mereka di pentas dunia sejak edisi 2014.

Pemain muda berusia 19 tahun, Yan Diomande, menjadi antara tonggak utama kecemerlangan Ivory Coast apabila beberapa kali mencetuskan ancaman menerusi gerakan pantas di bahagian sayap.

Ecuador hampir membuka tirai jaringan pada babak pertama, namun percubaan John Yeboah pada minit ke-23 dan Alan Minda tujuh minit kemudian hanya sekadar menggegar palang gol.

Ivory Coast turut memiliki peluang terbaik menerusi Nicolas Pepe pada minit ke-35, namun percubaannya berjaya disekat pertahanan lawan selepas menerima hantaran menarik daripada Diomande.

Singo pula hampir mencipta nama pada masa kecederaan babak pertama menerusi percubaan akrobatik selepas menerima hantaran Guela Doue, namun gagal menemui sasaran.

Selepas rehat, Ivory Coast terus menguasai permainan dan hampir mendahului menerusi Elye Wahi pada minit ke-52, tetapi rembatannya hanya melepasi palang.

Ecuador turut memperoleh peluang terbaik mereka pada minit ke-68 menerusi Gonzalo Plata, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Ivory Coast, Yahia Fofana.

Ketika perlawanan menuju keputusan seri, Diallo muncul pemusnah harapan Ecuador menerusi gol kemenangan dramatik yang menceriakan kem Ivory Coast.

Kemenangan itu memberi suntikan moral penting buat skuad muda Ivory Coast menjelang pertemuan sukar menentang Jerman dalam aksi kedua kumpulan, 21 Jun ini.

Sumber.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال