KENYATAAN MEDIA
11 Jun 2026
𝐃𝐀𝐏 𝐁𝐔𝐊𝐀𝐍 𝐏𝐀𝐑𝐓𝐈 𝐌𝐄𝐖𝐀𝐊𝐈𝐋𝐈 𝐊𝐀𝐔𝐌
Saya menyokong penuh pendirian Menteri Besar Johor, YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) Johor memilih untuk bergerak secara solo dalam Pilihan Raya Negeri Johor akan datang.
Kenyataan tersebut perlu dilihat dalam konteks politik yang sebenar, bukannya diputarbelitkan sebagai kenyataan bersifat perkauman.
Hakikatnya, apa yang ditegaskan oleh Onn Hafiz adalah pendirian politik BN Johor yang mahu mendapatkan mandat rakyat atas kekuatan dan prinsip perjuangannya sendiri.
Kenyataan Menteri Besar Johor ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional tempoh hari di Iskandar Puteri tidak mempunyai unsur perkauman. Sebaliknya, ia merupakan kenyataan politik yang selari dengan hasrat BN Johor untuk bergerak secara bebas berdasarkan kehendak serta maklum balas akar umbi.
Onn Hafiz merupakan antara pemimpin UMNO yang paling sederhana, progresif dan dekat dengan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum. Pengiktirafan daripada pimpinan MCA sendiri seharusnya menutup segala tuduhan tidak berasas yang cuba melabelkan beliau sebagai seorang yang rasis.
Perlu difahami bahawa pendirian untuk tidak bekerjasama dengan sesebuah parti politik bukanlah satu bentuk kebencian terhadap kaum atau agama tertentu.
Malah, pihak yang cuba mengaitkan pendirian tersebut dengan isu perkauman juga perlu berlaku adil dalam menilai fakta. Perlembagaan DAP sendiri tidak menyatakan bahawa parti itu ditubuhkan untuk memperjuangkan satu-satu kaum secara eksklusif. DAP berdaftar sebagai sebuah parti politik pelbagai kaum dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia. Oleh itu, menolak kerjasama politik dengan DAP tidak boleh secara automatik ditafsirkan sebagai penolakan terhadap mana-mana kaum, khususnya masyarakat Cina.
Dalam sebuah negara demokrasi, setiap parti berhak menentukan hala tuju, strategi dan rakan politik mereka berdasarkan prinsip serta mandat yang ingin diperjuangkan. Begitu juga UMNO dan BN sendiri tidak perlu memohon izin atau merujuk kepada parti lain untuk menjelaskan hala tuju dan strategi parti.
Malah, keadaan di peringkat Persekutuan selepas PRU15 tidak boleh disamakan dengan situasi politik Johor. Kerajaan Perpaduan diwujudkan dalam keadaan Parlimen tergantung dan atas titah serta nasihat Yang di-Pertuan Agong ketika itu demi menjamin kestabilan negara. Ia merupakan satu keperluan nasional dan bukannya pilihan politik yang dirancang sejak awal. Bahkan UMNO dan BN berikrar akan terus menyokong serta mendokong Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum akan datang.
Justeru, adalah tidak adil untuk memanipulasi kenyataan Onn Hafiz semata-mata bagi mencipta persepsi negatif.
Apa yang beliau nyatakan adalah pendirian politik yang jelas, telus dan menghormati hak rakyat untuk menentukan masa depan Johor.
BN Johor berhak menawarkan pilihan kepada rakyat berdasarkan identiti, prinsip dan kekuatan sendiri. Jika rakyat memberikan mandat, BN akan terus mentadbir dengan lebih baik serta memacu negeri ke tahap yang lebih cemerlang demi kesejahteraan seluruh Bangsa Johor.
BN akan terus membawa agenda "Tradisi Membela Rakyat" dan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
𝐃𝐀𝐓𝐔𝐊 𝐖𝐀𝐇𝐄𝐄𝐃𝐀𝐇 𝐅𝐀𝐑𝐔𝐙 𝐁𝐈𝐍𝐓𝐈 𝐓𝐄𝐋𝐀𝐇𝐀𝐇
Pengerusi Sekretariat Biro Tugas-Tugas Khas Wanita UMNO Malaysia
Exco Wanita UMNO Malaysia
Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Selayang


