Malaysia Hot

Dee Hsu sambut ulang tahun dengan penghormatan penuh emosi kepada mendiang kakak Barbie


TAIPEI: Pengacara televisyen Taiwan, Dee Hsu, meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-48 pada Ahad (14 Jun) dengan satu penghormatan penuh emosi kepada kakaknya, Barbie, yang meninggal dunia pada usia yang sama.

Dee berkongsi sekeping gambar kenangan mereka di Instagram dan merenung tentang detik yang penuh sayu itu.

“Kakak saya akan kekal berusia 48 tahun selamanya, dan saya baru sahaja berusia 48 hari ini! Mulai sekarang, saya akan secara perlahan-lahan menjadi kakaknya, melindunginya dan memberitahu dia apa yang berlaku di rumah. Dengan saya di sini, tiada apa yang perlu dirisaukan!” tulisnya.

Dee turut berkata dia mendapat ketenangan dengan kepercayaan bahawa Barbie kini “telah menjadi bintang di langit” yang menerangi hari-hari gelapnya.

Sebelum ini, asteroid 208663 yang ditemui pada tahun 2002 oleh ahli astronomi amatur Yang Guangyu telah dinamakan secara rasmi sebagai “Xuxiyuan” (nama Cina Barbie) oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) pada Mac lalu.

Pelakon dan pengacara terkenal yang melonjak ke pentas antarabangsa melalui drama popular Meteor Garden pada tahun 2001 itu meninggal dunia akibat radang paru-paru berpunca daripada selesema pada 2 Februari 2025 ketika bercuti bersama keluarga di Jepun.

Dee sebelum ini berkongsi rasa bersalah yang masih menghantui dirinya kerana merancang perjalanan tersebut.

“Biasanya Barbie akan kata dia penat dan tidak mahu pergi. Tetapi kali ini, dia yang berkeras mahu pergi,” katanya.

Ibu mereka pada awalnya menentang percutian itu kerana kos yang tinggi dan kesesakan semasa musim Tahun Baru Cina.

Namun Dee, Barbie dan kakak sulung mereka tetap mahu pergi untuk meluangkan masa bersama keluarga.

“Saya yang mencadangkan perjalanan itu pada awalnya,” kata Dee. “Jadi setiap kali kami merindui Barbie, saya akan cakap kepada ibu saya, ‘Semuanya kerana saya yang paksa masa itu’.”

Walaupun ibu mereka meminta Dee tidak menyalahkan dirinya, dia masih berasa bersalah.

“Tapi itu hakikatnya, jadi saya tak boleh elak daripada terfikir, ‘Kenapa saya tak dengar cakap ibu masa itu?’,” katanya.

Kedua-dua adik-beradik itu sebelum ini memulakan kerjaya sebagai duo muzik S.O.S (Sisters of Shiu), kemudian dikenali sebagai A.S.O.S (Adult Sisters of Shiu), dan dikenali peminat sebagai Big S dan Little S.

Sumber.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال