Malaysia Hot

Drama Netflix cetus perbincangan pendidikan global


SEOUL – Pelakon Korea Selatan, Kim Moo-yul, kini menikmati kemuncak baharu dalam kerjayanya susulan kejayaan luar biasa siri Netflix Teach You a Lesson yang mendapat sambutan hangat di seluruh dunia. 

Dalam drama tersebut, Kim membawakan watak Na Hwa-jin, seorang pegawai pemeriksa lapangan yang tegas dan tidak berkompromi di bawah Biro Perlindungan Hak Pendidikan Korea. 

Siri itu mengisahkan pasukan khas yang mendapat kelulusan kerajaan untuk memulihkan disiplin di sekolah yang berdepan masalah pelajar bermasalah serta ibu bapa yang dianggap toksik. 

Menurut laporan, hanya dalam tempoh tiga hari selepas ditayangkan, drama berkenaan berjaya menduduki tangga teratas kategori siri televisyen bukan berbahasa Inggeris paling popular di Netflix seluruh dunia. 

Kim turut menjadi bualan hangat dalam talian kerana wajahnya yang dikatakan mirip John Cena, malah bintang Hollywood itu sendiri pernah berkongsi foto Kim di media sosial. 

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan perasaan ini,” kata Kim ketika meluahkan rasa syukur terhadap sambutan antarabangsa yang diterimanya. 

Watak Na Hwa-jin yang dibawakan Kim merupakan bekas anggota pasukan khas yang menggunakan pendekatan keras, termasuk hukuman fizikal, dalam menangani masalah disiplin pelajar. 

Drama tersebut mengetengahkan pelbagai isu semasa seperti keganasan di sekolah, pencabulan hak guru, perjudian dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja. 

Kim mengakui tidak menyangka siri itu mampu menyentuh penonton di luar Korea Selatan dan mendedahkan beliau pernah menerima mesej daripada seorang guru di Malaysia yang berkongsi pengalaman serupa. 

“Saya dimaklumkan bahawa krisis yang hampir sama turut berlaku di negara seperti Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat. Ia membuatkan saya sedar bahawa perspektif ibu bapa, pelajar dan guru sebenarnya bersifat sejagat,” katanya. 

Beliau menjelaskan bahawa walaupun drama itu diinspirasikan daripada kes-kes sebenar, unsur imaginasi kreatif turut diterapkan bagi memperkukuhkan jalan cerita. 

Menurut Kim, pasukan produksi berusaha memastikan drama tersebut tidak sekadar menjadi hiburan ringan atau fantasi balas dendam semata-mata. 

“Kami mahu penonton melihat hukuman fizikal dalam drama ini sebagai alat penceritaan yang mendorong watak-watak untuk bermuhasabah, menyesal dan berubah, bukannya sebagai penyelesaian utama,” katanya. 

Bagi Kim, detik paling bermakna dalam siri itu berlaku pada episod akhir apabila wataknya berdepan dengan Gyu-cheol, pelajar yang membunuh tunangnya. 

Daripada memilih jalan balas dendam, Na Hwa-jin bertindak sebagai seorang pendidik dan menawarkan peluang kedua kepada pelajar tersebut. 

“Ketika Hwa-jin berkata, ‘Tidak mengapa, mari kita cuba sekali lagi,’ saya merasakan perjalanan wataknya menjadi lengkap kerana dia memilih pengampunan dan pendidikan berbanding dendam,” ujarnya. 

Mengulas mengenai definisi “pendidikan sebenar”, Kim mengakui isu itu sangat kompleks dan melibatkan pelbagai kepentingan yang saling bertembung. 

Beliau turut memuji keberanian penerbit dalam mengangkat isu-isu sensitif pendidikan ke arus perdana. 

“Jika 10 orang menonton drama ini, akan lahir 10 tafsiran berbeza tentang pendidikan sebenar. Jika 1,000 orang menontonnya, akan ada 1,000 makna yang berbeza,” katanya.

Sumber.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال