Malaysia Hot

Kes penipuan dalam talian meningkat 87 peratus, RM2.97 bilion kerugian


KUALA LUMPUR: Jumlah kes penipuan dalam talian tahun lalu meningkat 87 peratus kepada 66,204 kes berbanding 35,368 kes bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata ia menunjukkan ancaman jenayah siber semakin membimbangkan di negara ini.

Beliau berkata meskipun pelbagai usaha penguatkuasaan dan kempen kesedaran dilaksanakan oleh pihak berkuasa, peningkatan kes tetap berlaku secara mendadak. 

Beliau berkata, peningkatan kes turut disusuli dengan kerugian kewangan yang semakin besar apabila mangsa penipuan mengalami kehilangan wang sebanyak RM2.97 bilion tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak RM1.40 bilion berbanding 2024. 

"Statistik ini menunjukkan jenayah penipuan dalam talian terus menjadi ancaman serius yang memberi kesan besar kepada masyarakat dan ekonomi negara," katanya berucap pada majlis pelancaran kempen Perangi Scam, 'Two Forces, One Mission' antara PDRM dan Public Bank, di sini, hari ini.

Mohd Khalid berkata, penipuan menerusi panggilan telefon atau 'phone scam' kekal sebagai kategori penipuan paling banyak dilaporkan dengan 28,388 kes.

Beliau berkata, penipuan pelaburan tidak wujud mencatatkan jumlah kerugian tertinggi iaitu sebanyak RM1.47 bilion. 

"Sindiket penipuan kini semakin licik dan canggih apabila memanfaatkan teknologi serta pelbagai platform digital untuk memperdaya mangsa. 

"Angka yang direkodkan ini bukan sekadar statistik. Di sebalik setiap kes terdapat individu dan keluarga yang berdepan kesukaran kewangan serta tekanan emosi akibat menjadi mangsa penipuan," katanya. 

Beliau berkata, perkembangan pesat perkhidmatan digital dan transaksi dalam talian turut membuka lebih banyak ruang kepada penjenayah untuk menjalankan aktiviti penipuan. 

Sehubungan itu, beliau menegaskan usaha membanteras jenayah siber memerlukan kerjasama erat antara pihak berkuasa, institusi kewangan dan masyarakat. 

Mohd Khalid turut memuji pelaksanaan kempen Perangi Scam yang disifatkan mampu memperkukuh kerjasama antara agensi penguatkuasaan dan sektor perbankan selain meningkatkan tahap literasi kewangan serta kesedaran keselamatan siber dalam kalangan rakyat. 

"Perjuangan menentang penipuan tidak boleh dipikul oleh agensi penguatkuasaan semata-mata. Ia memerlukan komitmen bersama daripada institusi perbankan, agensi kerajaan dan orang ramai," katanya. 

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan urusan dalam talian dan memastikan setiap maklumat atau permintaan yang melibatkan wang serta data peribadi disahkan terlebih dahulu melalui saluran rasmi sebelum mengambil sebarang tindakan.

Sumber.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال