BOSTON: Iraq berjaya layak ke Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 40 tahun, namun pengendalinya Graham Arnold mahukan lebih daripada sekadar kehadiran di kejohanan itu.
Arnold berkata, pasukannya sudah cukup matang dan tahan tekanan selepas menempuh perjalanan panjang dengan 21 perlawanan kelayakan sebelum mengesahkan tempat ke pusingan akhir dan kini bersedia untuk mengejutkan dunia.
Iraq akan membuka kempen Kumpulan I menentang Norway di Boston esok selepas perlawanan antara Perancis dan Senegal.
Arnold berkata, pemainnya turun tanpa tekanan dan tiada apa yang perlu ditakutkan.
"Kami berada dalam kumpulan sangat sukar tetapi pada masa sama pemain-pemain sangat teruja. Setiap hari adalah detik menunggu. Piala Dunia sudah bermula empat hari lalu.
Iraq meraih tiket terakhir ke Piala Dunia selepas menewaskan Bolivia 2-1 dalam aksi playoff antara konfederasi pada Mac lalu.
Arnold turut mendedahkan pemainnya mengikuti semua perlawanan setakat ini termasuk beberapa keputusan mengejut membabitkan pasukan dianggap bukan pilihan seperti keputusan seri 1-1 Cape Verde menentang juara Eropah, Sepanyol serta keputusan seri Qatar dengan Switzerland yang menurutnya memberi keyakinan kepada skuad Iraq.
"Kami perlu percaya kepada diri sendiri dan bersedia untuk bermain. Layak sahaja tidak cukup. Saya mahukan lebih," katanya.
Iraq belum pernah memenangi perlawanan Piala Dunia dan tewas dalam kesemua tiga aksi kumpulan ketika satu-satunya penampilan mereka pada tahun 1986.
"12 bulan terakhir memang sukar. Sekadar sampai ke sini tidak cukup. Mereka sudah meraikan kejayaan layak tetapi sekarang kami perlu ke Piala Dunia, berikan prestasi terbaik dan cuba mengejutkan dunia. Kami mempunyai segala-galanya untuk diraih dan tiada apa untuk rugi," tambahnya.
Tags
Sukan

