Malaysia Hot

Jentera Penerangan UMNO Perlu Mendahulukan Fakta Sebelum Persepsi - Datuk Suraya Yaacob


Oleh Datuk Suraya Yaacob, Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia

Dalam dunia politik hari ini, perang persepsi berlaku setiap hari. Media sosial mempercepatkan penyebaran maklumat tetapi pada masa yang sama mempercepatkan penyebaran salah faham. Akibatnya, ramai yang memberi reaksi hanya berdasarkan tajuk berita atau petikan ringkas tanpa memahami konteks sebenar sesuatu isu.

Perkara ini jelas dapat dilihat apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato' Sri Azalina Othman Said, diajukan soalan mengenai cadangan menggubal undang-undang untuk menghalang etnik Rohingya daripada mengambil alih perniagaan di Malaysia. Sebelum memahami keseluruhan jawapan dan konteks perbincangan, sudah ada yang membuat kesimpulan serta kritikan, termasuk dalam kalangan ahli parti sendiri.

Realitinya, isu tersebut bukan semudah mewujudkan satu undang-undang yang menyasarkan kumpulan etnik tertentu. Dari sudut perundangan, sebarang cadangan yang melibatkan sesuatu kelompok secara khusus perlu melalui proses yang teliti serta mengambil kira implikasi terhadap prinsip undang-undang dan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Lebih penting, persoalan sebenar bukan sekadar mengenai siapa yang menjalankan perniagaan tetapi bagaimana perkara itu boleh berlaku. Siapa yang meluluskan lesen? Siapa yang mengawal kemasukan warga asing? Adakah terdapat rakyat Malaysia yang menyerahkan atau menjual perniagaan kepada mereka? Di sinilah akar isu yang perlu diberikan perhatian jika penyelesaian yang berkesan mahu dicari.

Sebab itu saya ingin mengingatkan seluruh jentera Penerangan UMNO supaya mempunyai disiplin maklumat yang tinggi. Apabila melibatkan pemimpin parti, jangan terburu-buru menjadi pengkritik sebelum menjadi pencari fakta. Fahami isu, baca laporan penuh dan teliti konteks sesuatu kenyataan sebelum membuat penilaian.

Ini bukan bermaksud kita mempertahankan segala-galanya secara membuta tuli. Sebaliknya, kita berlaku adil dengan memastikan seseorang pemimpin dinilai berdasarkan fakta sebenar, bukannya persepsi yang dibentuk melalui tajuk sensasi atau potongan maklumat yang tidak lengkap.

Jentera penerangan mesti mempunyai mentaliti untuk mendapatkan penjelasan terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukuman. Dalam politik, pihak lawan sentiasa mencari ruang untuk membentuk persepsi negatif terhadap pemimpin dan parti. Jika ahli UMNO sendiri terperangkap dalam perangkap persepsi yang sama, maka kita sedang membantu menyebarkan naratif yang dibina oleh pihak lain.

Tanggungjawab jentera penerangan bukan sekadar berkongsi maklumat. Tanggungjawab kita adalah mempertahankan kebenaran, memberikan konteks dan memastikan fakta mengatasi persepsi. Kita mesti menjadi sumber penjelasan, bukan sebahagian daripada kekeliruan.

Inilah sikap yang wajib ada dalam setiap ahli UMNO, khususnya jentera penerangan. Dalam era perang maklumat, kekuatan sesebuah parti bukan hanya terletak pada keupayaan menyerang lawan tetapi pada kebijaksanaan mempertahankan pemimpin dan parti berdasarkan fakta yang sahih.

Sebagai jentera Penerangan UMNO, prinsip kita mestilah jelas, baca dahulu, faham dahulu, semak dahulu dan pertahankan berdasarkan fakta. Jangan biarkan persepsi mengatasi kebenaran.





Previous Post Next Post

نموذج الاتصال