LOS ANGELES: Dua jagoan Hollywood, iaitu aktres veteran, Glenn Close dan pengarah tersohor, Ridley Scott, dilapor menjadi antara lima tokoh industri perfileman yang bakal menerima Anugerah Oscar Kehormat pada majlis Governors Awards tahun ini, sempena acara anugerah berprestij itu.
Pengiktirafan itu dilihat sebagai penghormatan terhadap sumbangan besar kedua-dua figura berkenaan yang sebelum ini sering terlepas peluang membawa pulang trofi Oscar kompetitif meskipun menerima pencalonan berulang kali.
Close pernah menerima lapan pencalonan Oscar menerusi filem seperti Fatal Attraction, Dangerous Liaisons dan terbaru Hillbilly Elegy, manakala Scott pula menerima empat pencalonan menerusi karya termasuk Thelma & Louise dan Gladiator.
Turut menerima penghormatan sama ialah animator veteran, Floyd Norman, serta pasangan penerbit, Christine Vachon dan Pamela Koffler. lapor The Guardian.
Dalam kenyataan, Academy of Motion Picture Arts and Sciences (AMPAS) dilapor menyifatkan Close, Scott, Norman, Vachon dan Koffler sebagai lima individu luar biasa di mana karya inovatif mereka membentuk seni pembuatan filem untuk selama-lamanya.
Scott pula disifatkan sebagai visionari sejati yang legasi kerjayanya selama beberapa dekad memberi impak besar kepada dunia perfileman dan budaya global. Filem terbaharunya, The Dog Stars, dijangka menemui penonton pada Ogos ini.
Norman yang kini berusia 90 tahun dikenali sebagai animator kulit hitam pertama di Disney.
Beliau pernah terbabit dalam penghasilan filem klasik seperti The Jungle Book dan Sleeping Beauty, selain turut menyumbang kepada filem Monsters, Inc. dan Alvin and the Chipmunks.
Vachon dan Koffler pula menerima pencalonan Oscar pertama menerusi filem romantik Past Lives. Antara karya lain terbitan mereka termasuk Boys Don't Cry, May December dan Materialists.
Anugerah Oscar Kehormat diberikan bagi menghargai pencapaian luar biasa sepanjang hayat, sumbangan besar terhadap perkembangan seni dan sains perfileman atau khidmat cemerlang kepada Akademi.
Majlis Governors Awards tahun ini dijadual berlangsung pada 15 November depan. Tahun lalu, antara penerima penghormatan sama ialah Tom Cruise dan Dolly Parton. - AGENSI
Tags
Hiburan

