Malaysia Hot

Johor Makin Maju, Mengapa Anwar Makin Gelisah


Sejak pembubaran DUN Johor diumumkan, nada politik yang datang daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan berbeza. Laungan reformasi kembali dihidupkan. Serangan terhadap UMNO dan Barisan Nasional semakin kerap kedengaran. Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, turut menjadi sasaran apabila cuba digambarkan sebagai pemimpin yang sombong dan angkuh.

Keadaan itu menimbulkan satu dilema politik yang semakin ketara.

Jika pentadbiran Johor benar-benar gagal, mengapa negeri ini terus mencatat kemasukan pelaburan yang tinggi? Mengapa Johor menjadi tumpuan pelabur tempatan dan antarabangsa? Mengapa Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) terus diperkatakan sebagai antara pemangkin ekonomi paling penting di rantau ini?


Menteri Besar Johor, Dato' Onn Hafiz tidak menjawab dengan emosi. Beliau tidak memilih jalan konfrontasi. Pendekatan yang diambil jauh lebih berhemah dengan memberi tumpuan kepada pencapaian pentadbiran dan hasil yang boleh dinilai oleh rakyat sendiri.

Lebih menarik, UMNO dan BN sehingga hari ini masih mengekalkan komitmen terhadap Kerajaan Perpaduan. Hubungan politik yang wujud tidak pernah dijadikan alasan untuk melancarkan serangan terbuka terhadap Perdana Menteri walaupun terdapat pelbagai isu yang boleh dijadikan modal politik.

Janji pemansuhan PTPTN yang pernah menjadi antara tema utama kempen reformasi misalnya, tidak lagi kedengaran. Pelbagai janji pilihan raya yang pernah memenuhi pentas ceramah juga semakin jarang dibangkitkan oleh pihak yang pernah menjadikannya senjata politik. Dan UMNO-BN tidak pernah mengambil kesempatan ini.

Di sinilah percanggahan yang semakin sukar dijelaskan dan rakyat melihat UMNO-BN begitu matang sebagai sebuah parti gabungan di dalam Kerajaan Perpaduan.

Mengapa serangan terhadap UMNO semakin rancak ketika UMNO sendiri memilih untuk tidak mengitar semula janji-janji lama Anwar dan Pakatan Harapan yang masih menjadi perbahasan rakyat?

Naratif mengenai rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan dimainkan setiap kali musim pilihan raya menghampiri. Samada pilihanraya kecil atau pun pilihanraya negeri.

Jika benar wujud pemimpin UMNO yang melakukan "sakau" seperti yang sering didakwa, siapakah individu yang dimaksudkan? Adakah mereka telah didakwa? Adakah mereka telah disabitkan oleh mahkamah? Atau adakah dakwaan tersebut sekadar slogan politik yang diulang tanpa pembuktian yang jelas?

Jika Anwar hendak mengungkit kes terhadap individu yang sudah dijatuh hukuman maka sampai bila isu tersebut ingin beliau jadikan modal ceramah politik. Anwar pun perlu fikir beliau juga ada kes yang lampau yang amat memalukan dan boleh dijadikan bahan ceramah tetapi pemimpin UMNO-BN tidak serendah itu moralnya untuk mengungkit kisah yang lampau sebagai bahan politik.

Rakyat semakin matang. Tuduhan umum tanpa penjelasan terperinci tidak lagi memberi kesan seperti dahulu.

Sikap gemar membuat tuduhan tanpa disusuli pembuktian yang jelas bukan isu baharu dalam permainan politik Anwar. 

Antara contoh yang masih diingati ialah dakwaan bahawa Perikatan Nasional menerima dana perjudian. Tuduhan tersebut pernah diulang di pentas politik dengan keyakinan bahawa bukti akan dikemukakan. Masa berlalu tanpa sebarang pembuktian yang meyakinkan kepada umum.

Lebih menarik, perkara itu kemudiannya dibangkitkan sendiri oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli. Dalam satu podcast baru-baru ini, Rafizi menyatakan rasa kecewa apabila dakwaan tersebut tidak pernah disokong dengan bukti seperti yang dijanjikan.

Ini bukan satu-satunya contoh yang menjadi perhatian ramai.

Pada Ogos tahun lalu, Anwar turut mendakwa di Parlimen bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan pemberian subsidi bahan api kepada warga asing. Dakwaan itu kemudiannya dinafikan oleh Muhyiddin. Susulan kontroversi tersebut, MCMC diarahkan menjalankan siasatan bagi mengesahkan sumber yang digunakan.

Perkembangan seterusnya menimbulkan lebih banyak persoalan apabila salah satu sumber yang dirujuk didapati datang daripada kandungan media sosial yang dipertikaikan kesahihannya. Sehingga hari ini, hasil siasatan yang dijanjikan tidak pernah mendapat perhatian sebesar dakwaan asal yang dilontarkan.

Corak yang sama menyebabkan rakyat semakin berhati-hati setiap kali tuduhan baharu dibuat terhadap lawan politik.

Program bantuan yang dilaksanakan kerajaan hari ini juga sering dipersembahkan seolah-olah idea baharu yang tidak pernah wujud sebelum ini. Realitinya, banyak inisiatif bantuan bersasar mempunyai asas yang dibina sejak era pentadbiran terdahulu. Program SARA misalnya sering dibandingkan dengan pendekatan bantuan langsung yang pernah diperkenalkan melalui BR1M ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak. SARA bukanlah program 'asli' Anwar tetapi UMNO-BN tidak pula mengungkit dan menjadikannya modal pilihanraya.

Anwar turut membangkitkan isu hospital rosak, sekolah rosak dan kelemahan perkhidmatan awam dalam ceramah politiknya di Johor.

"Saya datang Muar, sekolah rosak, kantin sekolah rosak, balai polis rosak, tandas balai polis rosak, negeri buat apa?"

Kenyataan tersebut mengundang reaksi Bangsa Johor malah memalukan Anwar sendiri kerana apa disebut oleh Anwar di pentas ceramah tentang  kesemua kegagalan tersebut sebenarnya datang dari kementerian yang diketuai oleh Menteri dari blok Pakatan Harapan dan bukannya dari UMNO-BN. Tambah memalukan, bukan tanggungjawab negeri untuk menyelesaikan masalah yang dibangkitkan oleh Anwar.

Johor hari ini bukan medan untuk mengulangi slogan lama. Johor sedang dinilai berdasarkan prestasi, pelaburan, peluang pekerjaan dan kestabilan pentadbiran.

Jika rakyat melihat hasil yang nyata di hadapan mereka, adakah naratif yang sama masih cukup kuat untuk mengubah keputusan mereka?

Pilihan raya akan memberikan jawapannya.

Dan untuk Anwar, jeritan "reformasi" yang dilaungkannya hanya sekadar laungan seorang Ketua Pembangkang dan bukannya selayaknya datang dari seorang Perdana Menteri.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال