SANTA CLARA, California: Skuad Jordan masih mampu berbangga dengan prestasi mereka selepas mencatat 'persembahan terhormat' dalam penampilan sulung Piala Dunia, kata ketua jurulatihnya,Jamal Sellami.
Jordan tewas 3-1 kepada Austria dalam aksi Kumpulan J namun menunjukkan semangat tinggi sepanjang perlawanan.
Austria membuka jaringan menerusi sepakan lencong cantik Romano Schmid pada babak pertama sebelum Jordan bangkit menyamakan kedudukan selepas rehat menerusi Ali Olwan.
Bagaimanapun, gol sendiri oleh Yazan Al Arab kembali meletakkan Austria di hadapan sebelum penalti lewat permainan oleh Marko Arnautovic memastikan kemenangan lawan.
"Saya rasa keputusan tidak mencerminkan usaha yang ditunjukkan oleh pasukan Jordan, tetapi secara peribadi saya sangat gembira dan bangga dengan prestasi mereka," katanya kepada media.
Jordan yang terkenal dengan corak permainan serangan balas menunjukkan keberanian luar biasa untuk menyerang Austria walaupun kedudukan terikat 1-1.
"Tiada siapa menjangka kami akan bermain begitu berani, begitu proaktif dan mampu memanfaatkan peluang yang ada," tambahnya.
Namun Sellami mengakui perbezaan utama antara kedua-dua pasukan adalah kualiti pemain Austria termasuk David Alaba dan Konrad Laimer yang beraksi di kelab gergasi Eropah.
Beliau turut menyesali ketiadaan penyerang, Yazan Al-Naimat yang mengalami kecederaan lutut sebelum kejohanan.
"Jika Naimat bersama kami hari ini, keputusan mungkin berbeza," katanya. -REUTERS
Tags
Sukan

